Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 8 Mei – Seramai 150 anak muda Kelantan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menyertai program Kelantan Future Leaders Bootcamp 2025.
Program tersebut berlangsung di D'Heritage Resort & Training, Kemasin selama tiga hari bermula 6 Mei lalu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, program anjuran Kerajaan Negeri melalui Kelantan Future Leaders Institut itu bertujuan melahirkan barisan kepimpinan masa depan yang berkualiti serta bersedia menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang.
“Seringkali apabila bercakap tentang kepimpinan, tumpuan hanya diberikan kepada politik semata-mata seperti wakil rakyat atau menteri.
![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
"Hakikatnya, kepimpinan merangkumi pelbagai sektor termasuk pertubuhan sukan, persatuan profesional dan badan bukan kerajaan.
“Sebagai contoh, dalam profesion guaman wujud Majlis Peguam yang juga memerlukan kepimpinan tersendiri untuk mengemudi arah tuju organisasi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup program tersebut, hari ini.
Tambah beliau, penyertaan kali ini turut melibatkan pelajar dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang lebih tertumpu kepada pelajar institusi di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Sementara itu, Pengarah Program, Ridhuan Che Musa memaklumkan bahawa peserta yang terlibat dipilih berdasarkan kepimpinan mereka di peringkat sekolah seperti ketua pelajar, ketua pengawas, ketua kelab dan sebagainya.
“Program ini dibangunkan berdasarkan modul pembangunan kepimpinan yang dirangka khusus untuk membina jati diri, keyakinan tinggi serta daya tahan menghadapi cabaran masa depan.
“Kami berharap segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program ini dapat dipraktikkan oleh para peserta dalam komuniti masing-masing, termasuk dalam keluarga,” ujarnya.
0 Comments