Oleh: Asri Hamat
TANAH MERAH, 15 Mei – Selama 59 tahun beroperasi, kilang kerangka besi, atap dan papan lapis Kong Joo Timur Sdn Bhd di Tebing Tinggi membuka peluang pekerjaan kepada lebih 300 anak tempatan sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi daerah ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha pelaburan tersebut kerana ia memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
“Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memberi sokongan terhadap segala aktiviti yang dijalankan oleh syarikat ini agar kekal berdaya saing, mampu mengeksport produk ke peringkat antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang berkenaan bersama delegasi agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, pada Rabu.
![]() |
YB Mejar (B) Dato’ Hj Md Anizam Ab Rahman, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan Negeri Kelantan |
Menurut beliau, lawatan itu turut bertujuan mengukuhkan hubungan antara pihak industri dengan agensi-agensi pelaburan agar sebarang isu di peringkat negeri mahupun Persekutuan dapat diselaraskan dan diselesaikan secara bersepadu.
“Kita mahu semua pengusaha kilang di Kelantan tahu bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka memberi kerjasama demi kemajuan sektor perindustrian di negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kong Joo Timur Sdn Bhd, Loh Wooi Keat menyambut baik lawatan tersebut yang disifatkannya sebagai satu platform penting untuk menjalin kerjasama erat antara pihak industri dan kerajaan.
“Ia juga dapat memperkukuh jaringan produktiviti dan seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Kelantan secara keseluruhannya,” katanya.
Untuk rekod, Kong Joo Timur Sdn Bhd telah beroperasi sejak tahun 1966 dan kini mengeluarkan pelbagai produk termasuk besi rangka bumbung, atap keluli (zink) dan papan lapis untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Antara agensi yang turut serta dalam lawatan kerja tersebut termasuklah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corp.
0 Comments