Ticker

6/recent/ticker-posts

ABRAHAM KOI USAHAWAN TUNGGAL IKAN KOI DI KELANTAN


Oleh: Asri Hamat

TANAH MERAH, 15 Mei – Abraham Koi milik Nur Samihah Ibrahim dari Kampung Bechah Laut di sini, merupakan usahawan tunggal dalam bidang ternakan ikan koi secara komersial di Kelantan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata projek ternakan tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari pasaran tempatan bahkan turut menembusi pasaran luar negara.

“Alhamdulillah, hasil usaha gigih Nur Samihah, ikan koi yang diternaknya mendapat permintaan dari luar Kelantan seperti Johor, bahkan turut dipasarkan ke Thailand.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia memberi sokongan termasuk bantuan peralatan seperti kanvas dan tangki air untuk memperkukuh operasi penternakan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke premis berkenaan, semalam.


Tambahnya, lawatan tersebut memberi peluang kepada pihak kerajaan untuk meninjau kaedah penternakan koi secara langsung, termasuk aspek pemakanan, pembiakan serta peralatan yang digunakan.

“Ikan koi merupakan ikan hiasan bernilai tinggi. Ia boleh membesar sehingga 19 hingga 23 inci dan mampu mencapai harga ratusan ringgit seekor.

“Saya menyeru belia serta masyarakat yang berminat menceburi bidang ini agar menjadikan Abraham Koi sebagai inspirasi,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Samihah berkata, projek ternakan yang diusahakan sejak dua tahun lalu bermula daripada minat mendalam terhadap ikan hiasan, sebelum berkembang menjadi sumber pendapatan.


“Selain kolam di kawasan rumah, saya juga menguruskan kolam tambahan yang menempatkan lebih 2,000 ekor ikan koi,” katanya.

Lawatan itu turut disertai wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corp.



Post a Comment

0 Comments