SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berusaha menghidupkan semula warisan nelayan zaman dahulu sebagai produk pelancongan baharu di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, aktiviti memukat menggunakan pukat tarik bakal diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.
Katanya ia mampu mencipta suasana santai yang boleh mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan-rakan.
“Jadi kita mahu hidupkan kembali aktiviti tersebut sebagai riadah yang boleh mencipta suasana rehat minda serta mengeratkan hubungan,” katanya selepas merasmikan Matta Fair Kelantan 2025 di Mydin Mall Tunjong baru-baru ini.
Menurutnya, aktiviti menarik pukat memerlukan kerjasama 20 hingga 30 orang untuk mengepung ikan di pantai meliputi kawasan sejauh hampir 1 kilometer.
Katanya juga bagi menarik lebih ramai pelancong kerajaan negeri melancarkan Kempen Indahnya Kelantan 2025 dengan menyenaraikan 41 aktiviti utama dalam kalendar pelancongan tahun ini.
Ia meliputi segmen budaya, kesenian, warisan, sukan, ekopelancongan dan pelancongan komuniti.
Kamarudin juga berkata, aktiviti meluncur ombak di Pantai Kemasin pada musim tengkujuh lepas berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung.
Sementara itu Matta Fair Kelantan berlangsung pada 8 hingga 10 Mei di Mydin Mall Tunjong menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung.
Pameran pelancongan tersebut menghimpunkan lebih 30 agensi pelancongan dan pakej umrah, pempamer dan pengusaha produk pelancongan.
Kamarudin berkara, penganjuran program itu membuka peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan tawaran pakej percutian menarik serta memperkukuh jaringan antara pemain industri pelancongan.
0 Comments