Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Mei- Festival Unggas ASEAN 2025 yang julung kali diadakan di Negeri Kelantan pada tahun ini berjaya menarik sebanyak 902 penyertaan dari seluruh negara dan beberapa buah negara ASEAN.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, festival yang dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) ini juga merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan ke peringkat antarabangsa dan akan menjadi acara tahunan.
"Festival ini merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan Kelantan ke peringkat antarabangsa dan ia termasuk dalam kalendar pelancongan di negeri ini.
"Insya Allah festival yang julung kali diadakan di negeri ini juga akan menjadi acara tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan."
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampai hadiah pertandingan unggas sempena Festival Unggas Asean 2025, di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Sabtu.
Tambah Datuk Kamarudin lagi, pihaknya amat berpuas hati dengan penyertaan para peminat unggas pada festival kali pertama ini.
"Kami amat berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan dari para peminat unggas dari dalam dan luar negara. Penyertaanya hampir 1000 peserta. Penyertaan tertinggi dari luar negara adalah dari Thailand iaitu sebanyak 100 penyertaan, diikuti Indonesia 10, Singapura lima dan Brunei dua penyertaan," tambah beliau.
Festival tersebut menampilkan lima kategori pertandingan iaitu burung ketitir, tekukur, candik, ayam serama dan ayam ratu.
Dalam Festival tersebut, burung ketitir milik Sabri Abdul Latif dari Pattani, Thailand muncul juara kategori BB1 iaitu berusia enam bulan.
Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah tersebut adalah Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Nik Mohd Fahmi Nik Daud dan wakil Persatuan Unggas Negeri Kelantan, Kamaruzaman Hasan.
0 Comments