Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Mei - Program Pameran Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Timur "Eastern Region Tourism & Culture Fair 2025" (ERTCF) yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Julai di Hotel Perdana Kota Bharu, menjadi platform untuk mengangkat sektor pelancongan di Pantai Timur ke tahap yang lebih tinggi.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program tersebut akan menghimpunkan pemain-pemain industri dari tiga negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.
"Antara-aktiviti dalam program ini adalah pameran pelancongan antara agensi dan penggiat seni negeri di Pantai Timur, persembahan kebudayaan pelbagai kaum, sesi business matching, bengkel pelancongan, seminar, pameran produk seni, kraftangan, batik serta kulinari tempatan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Timur 2025, di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini.
Tambah beliau lagi, melalui pameran ini juga akan membantu mempromosikan keunikan pelancongan Pantai Timur secara kolektif serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
"Saya yakin program ini mampu meletakkan negeri-negeri di Pantai Timur sebagai satu destinasi pelancongan serantau yang unik, inklusif dan berdaya tahan.
"Ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pengelibatan vendor-vendor kecil, usahawan komoniti dan usahawan muda dalam ekosistem pelancongan," ujarnya.
Untuk rekod, ERTCF 2025 anjuran Bayam Travel dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dan Tourism Malaysia Wilayah Timur, bertujuan untuk mempromosikan Kelantan, Terengganu dan Pahang sebagai destinasi pelancongan utama melalui pameran yang menonjolkan pelancongan domestik, budaya, warisan dan kesihatan.
Ia akan menjadi platform bagi perniagaan dan organisasi untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kekayaan warisan budaya di negeri Pantai Timur.
Pameran ini juga akan mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa dengan menampilkan seni tradisional, masakan, pakaian dan adat resam dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Selain itu, aspek kesihatan dan kesejahteraan turut akan diberi penekanan sebagai sebahagian perkara penting dalam pengalaman pelancongan.
Pihak penganjur meletak sasaran 3000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari pameran tersebut berlangsung dengan 50 reruai pameran dari agensi kerajaan dan pemain industri seperti perhotelan, guest house dan sebagainya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bayam Travel, Nik Zulhisham Datuk Azman dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahya.
0 Comments