Ticker

6/recent/ticker-posts

KBC-BIOECONOMY SEPAKAT LONJAKKAN PEMBANGUNAN INDUSTRI BIOTEKNOLOGI, BIOEKONOMI


Oleh: Norzana Razaly

PASIR PUTIH, 29 Mei — Kerjasama strategik di antara Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) dan Malaysia Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) dimeterai sebagai pemacu baharu dalam merancakkan pembangunan industri bioteknologi dan bioekonomi negeri Kelantan secara menyeluruh, mampan dan berimpak tinggi.

Bioeconomy Corporation merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab memperkasa industri bio negara melalui khidmat nasihat, sokongan pelaburan, pembangunan modal insan dan ekosistem perundangan.

Manakala KBCSB pula berperanan sebagai syarikat utama negeri dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan produk serta perkhidmatan bioteknologi berasaskan pertanian.

Menerusi sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU)di antara KBCSB yang diwakili Pengarahnya, Lim Guan Seng bersama pengurusan tertinggi syarikat tersebut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Naib Presiden, Fadzrin Azwar Abdul Aziz, mewakili agensi nasional itu.

Momen bersejarah itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed fadzli Hassan bersama Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KBCSB sempena Karnival Bio Kelantan (BioK) 2025 di Rhu Rehlah Pantai Bisikan Bayu, hari ini.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata kerjasama tersebut bakal membuka laluan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berasaskan bio yang lebih terancang dan berdaya saing.

Beliau yakin enam teras utama kerjasama dipersetujui melalui MoU berkenaan antaranya termasuk penyediaan rangka Polisi Bioteknologi Negeri Kelantan, pengumpulan data dan maklumat syarikat serta usahawan bio, penerokaan peluang pendanaan dan pelaburan, serta inisiatif pembangunan bakat baharu dalam bidang bioteknologi mampu mencapai objektif yang disasarkan.

“Kerjasama ini bakal menyokong agenda negeri ke arah menjadikan bioteknologi sebagai salah satu pemacu ekonomi baharu Kelantan, selari dengan aspirasi Kelantan Sejahtera.

“Inisiatif ini juga dijangka membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada usahawan tempatan dan golongan muda dalam sektor bio melalui program pembangunan kapasiti dan penerokaan pasaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Kelantan bersedia melonjak sebagai antara negeri terkehadapan dalam memperkasa potensi sektor bioekonomi negara berpaksikan inovasi, kelestarian dan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Sementara itu, Mohd Khairul Fidzal memaklumkan bahawa Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri dengan sumber semula jadi yang kaya, semangat keusahawanan yang tinggi, dan institusi pendidikan yang aktif dalam bidang sains dan teknologi.

"Gabungan ini menjadikan Kelantan berpotensi besar untuk memacu pembangunan industri bioteknologi dan berasaskan bio yang mampan.

"Bioeconomy Corporation komited untuk membimbing dan menyokong usaha ini ke peringkat yang lebih tinggi melalui kepakaran dan jaringan strategik kami,” katanya.

Post a Comment

0 Comments