Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 Mei - Universiti Malaya (UM) dan Kerajaan Negeri Kelantan menandatangani memorandum kerjasama strategik dalam usaha membangunkan dasar sukan mesra Islam negeri Kelantan, sempena penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 bagi memastikan pembangunan sukan dapat bergerak seiring dengan nilai-nilai Islam.
Timbalan Naib Canselor (TNC) UM, Prof Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, program tersebut merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia dan disifatkan sebagai satu usaha yang sangat murni dalam memperkukuhkan model sukan berteraskan prinsip syariah, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Insya Allah, saya yakin usaha membangun dasar dan polisi sukan mesra Islam ini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan model sukan mesra Islam secara menyeluruh.
"Ia melambangkan komitmen bersama untuk menjadikan sukan bukan sahaja sebagai medan pertandingan di gelanggang bahkan menjadi medan pembangunan insan."
![]() |
Prof Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (TNC) UM |
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan, di Mabna Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.
Katanya lagi, dasar sukan mesra Islam yang akan dibangunkan itu adalah hasil buah fikiran yang berani, progresif dan juga keterhadapan.
"Dasar ini akan dibangunkan dengan melibatkan pelbagai elemen penting termasuk kesederhanaan dalam pemakaian atlet, penyusunan masa latihan berteraskan ibadah, pengasingan jantina secara beretika, pematuhan terhadap pemakanan halal dan bersih serta garis panduan bagi penyiaran dan liputan media selaras dengan adab dan syariah," ujarnya.
Jelas Dr Kaharudin lagi, UM sebagai universiti penyelidikan komprehensif akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek berkenaan melalui kepakaran interdisiplin yang dimiliki fakulti-fakultinya seperti Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains Sukan, Fakulti Perubatan dan lain-lain yang menyumbang kepada terbinanya dasar sukan mesra Islam ini.
"Antara fokus utama kerjasama ini termasuk penyediaan garis panduan khusus untuk jurulatih, atlet dan pegawai pengurusan, pelaksanaan kajian lapangan dan temubual mendalam serta pembangunan panduan pelaksanaan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
"Usaha ini juga disokong oleh geran penyelidikan yang melibatkan penyertaan ahli akademik dari pelbagai bidang.
"Kami di UM berasa terhormat untuk menjadi sebahagian daripada projek rintis ini. Ini mencerminkan kekuatan UM dalam menghadapi cabaran realiti masa kini dengan pendekatan penyelidikan berimpak tinggi.
"Insya Allah, kerjasama ini diyakini mampu menjadikan Kelantan sebagai peneraju dalam transformasi landskap sukan negara yang berteraskan nilai-nilai Islam.
"Lebih penting, atlet yang dilahirkan melalui dasar ini bukan sahaja mempunyai kekuatan fizikal, malah dibentuk dengan jiwa yang luhur, akhlak yang mulia serta semangat kesukanan sejati, seiring dengan maqasid syariah dan falsafah sukan dalam Islam, " jelasnya.
Dalam perjanjian tersebut, UM diwakili Dr. Kaharudin manakala Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Ahmad Adlie Yasin dan disaksikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad bersama timbalannya, YB Bahari Mohamad Nor.
0 Comments