Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 27 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan menafikan sebarang penglibatan dalam Skim Rumah Pertama Kelantan (SRPK) yang tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menjelaskan bahawa kerajaan negeri hanya melaksanakan Program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), yang dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Perumahan Negeri Kelantan.
“Permohonan bagi Program RMMK boleh dibuat secara fizikal di Kaunter Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) atau secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi: https://eperumahan.kelantan.gov.my,” katanya.
Kenyataan tersebut disiarkan menerusi laman sosial media beliau pada Isnin.
Menurutnya, sebarang skim perumahan lain termasuk SRPK bukan di bawah kendalian, pengesahan atau pengiktirafan kerajaan negeri.
“Tiada sebarang borang rasmi atau pelantikan kepada mana-mana syarikat swasta bagi menjual rumah di bawah skim SRPK yang dikeluarkan oleh Bahagian Perumahan atau mana-mana agensi kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang isu perundangan atau pertikaian kontrak melibatkan pembeli rumah dan ejen jualan atau broker berkaitan SRPK.
Sehubungan itu, YB Hilmi menasihati orang ramai agar berurusan terus dengan institusi kewangan atau bank yang dilantik oleh Jabatan Perumahan Negara bagi mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), selain merujuk terus kepada ejen swasta terbabit sekiranya berminat dengan SRPK.
Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan mendapatkan maklumat yang sahih sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembelian rumah.
0 Comments