Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 Mei – Konvensyen NGO Kelantan 2025 disifatkan sebagai platform strategik bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri ke arah membina masyarakat inklusif yang berdaya tahan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, konvensyen itu penting sebagai medan perkongsian maklumat, penyelarasan tindakan dan pemerkasaan peranan NGO di peringkat negeri.
NGO bukan sahaja sekadar pelaksana aktiviti akar umbi, malah merupakan rakan pembangunan dan pemangkin kepada perubahan sosial yang signifikan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen NGO Kelantan 2025 yang berlangsung di sebuah hotel, di Tunjong, hari ini.
Beliau menegaskan, peranan NGO mencakupi pelbagai sektor termasuk kebajikan, pendidikan, belia, sukan, alam sekitar dan kesukarelawanan, menjadikan mereka tulang belakang kepada kelangsungan kesejahteraan sosial negeri.
“Dengan pendekatan 'Whole of Society', kita percaya NGO dapat menjayakan agenda Kelantan Sejahtera 2033 secara lebih menyeluruh, merentas latar belakang dan kepelbagaian komuniti,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Kelantan telah menzahirkan komitmen jangka panjang melalui dasar dan inisiatif seperti Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK), pelan Kelantan Future State 2033 dan program Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), yang semuanya menekankan peranan strategik NGO sebagai penggerak masyarakat.
Matlamat kita jelas untuk melahirkan masyarakat Qawiyul Amin, iaitu masyarakat yang kuat dari segi daya tahan dan tinggi integritinya. NGO adalah ejen utama dalam pembinaan jatidiri rakyat,” tegas beliau.
Dalam pada itu, hala tuju NGO negeri menjelang tahun 2033 turut diperincikan.
Hal tersebut melibatkan pelbagai inisiatif baharu seperti pemerkasaan Konfederasi NGO Kelantan (KNK), penyediaan geran berasaskan keberkesanan impak komuniti, serta pemetaan NGO mengikut bidang dan kawasan untuk pengurusan yang lebih sistematik.
Antara tumpuan lain ialah usaha melatih dan mementor NGO baharu, khususnya dalam kalangan belia, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan sivil yang progresif dan berteraskan nilai.
Konvensyen NGO Kelantan 2025 menghimpunkan 200 wakil pertubuhan masyarakat sivil dari seluruh negeri dan dijangka menjadi landasan utama dalam menyatukan agenda rakyat bersifat qawiyul amin selari dengan dasar pembangunan negeri secara lebih inklusif dan bersepadu.
0 Comments