Ticker

6/recent/ticker-posts

NASI KERABU BAKAL DIANGKAT SEBAGAI IKON GASTRONOMI NEGARA


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 27 Mei – Nasi Kerabu, sajian ikonik dari Kelantan, kini diangkat sebagai simbol gastronomi kebangsaan menerusi pelaksanaan Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi yang menekankan perlindungan warisan kulinari melalui pendekatan harta intelek.

Program tiga hari bertemakan Intellectual Property (IP) and Gastronomic Tourism itu bermula hari ini di sebuah hotel Kota Bharu hasil kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff bersama-sama Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Sosial), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan Zalifah Zulkifli.

Yusnieza Syarmila Yusoff,
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO

Menurut Yusnieza Syarmilla, program berkenaan adalah lanjutan Fasa Kedua daripada inisiatif yang bermula sejak 2021 melalui kajian dan seminar kebangsaan yang telah meletakkan asas kukuh dalam usaha mendokumentasikan serta melindungi warisan makanan tradisional.

“Fasa kedua ini memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti pengusaha makanan tradisional, khususnya Nasi Kerabu, dalam aspek pemilikan dan pengkomersialan harta intelek sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan gastronomi negara,” katanya.

Tambahnya, Nasi Kerabu dipilih sebagai tunjang projek kerana mewakili ciri warisan budaya yang kaya dengan rasa, keunikan penyediaan serta keterikatan mendalam dengan identiti negeri Kelantan.

Zalifah Zulkifli,
Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Sosial), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan

Program Induksi dan Bengkel Teknikal tersebut turut merancang persatuan keusahawanan/koperasi tempatan yang berperanan menyelaras dan memantau penyediaan serta kawalan kualiti Nasi Kerabu secara bersepadu.

Antara peserta yang hadir dalam program hari ini termasuk wakil kementerian dan agensi kerajaan persekutuan serta pegawai pihak berkuasa tempatan seluruh Kelantan, pengusaha dan persatuan.

Sesi Bengkel Teknikal turut dijadual berlangsung pada 28 dan 29 Mei melibatkan penyertaan pengusaha makanan tradisional, usahawan, wakil industri pelancongan serta ahli akademik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan menyeluruh berkenaan aspek penjenamaan, pembungkusan, serta pendaftaran cap kolektif sebagai langkah strategik memelihara keaslian Nasi Kerabu.


Panel-panel pakar dari Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) yang berpengkalan di Geneva seperti Kaunselor Kanan, Bahagian Cap Dagangan, Reka Bentuk Perindustrian dan Petunjuk Geografi, Jenama dan Sektor Reka Bentuk Jessamyn Honculada dan Pakar IP, Perunding Antarabangsa Prof Giulio Zanetti dari Itali.

Mereka turut membimbing peserta dalam pemahaman tentang cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan Petunjuk Geografi (GI).

Usaha tersebut dijangka membuka lembaran baharu kepada pembangunan industri makanan warisan di peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus menempatkan Nasi Kerabu sebagai warisan negara yang diiktiraf dunia.

Sehubungan itu pihak MyIPO memohon sokongan padu Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk sama-sama menjayakan usaha memartabatkan Nasi Kerabu melalui perlindungan harta intelek.


Post a Comment

0 Comments