SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kejayaan anak-anak dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Dun Salor bakal memacu kejayaan di peringkat negeri dan negara pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Saizol Ismail berkata, mereka bakal menjadi pemimpin, doktor, jurutera, pendidik dan usahawan yang berjaya di pelbagai bidang.
Katanya, seramai 55 pelajar di Dun Salor mencatat keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan baru-baru ini.
"Mereka merupakan sebahagian daripada 79 calon yang menduduki SPM 2024 yang tinggal di Dun Salor.
"Kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih pelajar, doa ibu bapa serta bimbingan ikhlas guru yang tidak pernah jemu mendidik,“ ujarnya ketika meraikan pelajar terbabit baru-baru ini.
Beliau turut berharap pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk melangkah lebih jauh demi agama, bangsa, dan negeri tercinta.
Katanya juga wajar penghargaan diberi kepada mereka sebagai motivasi diri serta pencetus semangat untuk terus berjaya pada masa akan datang.
0 Comments