Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 Mei – Perpaduan masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kestabilan sesebuah negeri dan negara.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata perpaduan yang kukuh sudah lama terjalin di Kelantan.
Masyarakat yang berbilang kaum hidup dalam keadaan harmoni, saling menghormati dan memberi sokongan.
"Di Kelantan, rakyatnya hidup bersatu padu walaupun berbeza agama dan bangsa. Mereka berbicara dalam dialek yang sama dan menjalankan perniagaan berdampingan.
"Inilah realiti kehidupan masyarakat majmuk di Kelantan yang sentiasa menjaga nilai hormat-menghormati antara satu sama lain," ujarnya dalam satu hantaran media sosial pada Sabtu.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan, melalui Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), telah menganjurkan pelbagai program, termasuk karnival perpaduan, sebagai usaha berterusan untuk memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
YB Zamakhshari turut menegaskan bahawa pendekatan berteraskan prinsip Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, bersama dengan nilai budaya timur, mampu membentuk sebuah komuniti yang aman dan bersatu.
Terdahulu, beliau mewakili Menteri Besar Kelantan untuk merasmikan Sambutan Mingguan Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025, yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud di Dataran Bandar Baru Pasir Mas pada Sabtu.
0 Comments