Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 3 Mei- Putri Auni Khadijah Mohd Hanif, dari Negeri Kelantan muncul johan hafazan kategori tahap satu hingga 30 juzuk perempuan, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1446H/2025.
Majlis tersebut berlangsung di Dewan Wawasan 2020 dari 27 April hingga 2 Mei 2025.
Putri Auni Khadijah, 18, memperolehi markah sebanyak 97.85 peratus dan menjadi peserta termuda hafizah bagi kategori satu hingga 30 juzuk berserta tafsir.
Selaku johan, Putri Auni Khadijah membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, tambahan wang tunai mengerjakan haji sebanyak RM10,000, piala, cenderamata, sijil penyertaan, satu dinar emas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), telefon bimbit sumbangan Kerajaan Negeri Perlis serta kurniaan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis.
Seorang lagi peserta dari Kelantan, Wiedaad Izzaddiin mendapat tempat ketiga, kategori tahap satu hingga 20 juzuk hafizah dengan markah sebanyak 90.65 peratus.
Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM7500, tambahan wang tunai mengerjakan umrah sebanyak RM7000, piala, cenderamata, sijil penyertaan serta kurniaan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Duli Yang Maha Mulia Raja Tuanku Raja Perempuan Perlis.
Bagi johan tilawah, masing-masing disandang oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dengan markah sebanyak 94.50 peratus dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahid mewakili Terengganu dengan markah sebanyak 91.84 peratus.
Majlis pengurniaan hadiah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullai dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid.
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud mengucapkan tahniah kepada adik Putri Auni Kadijah dan adik Wiedaad atas kejayaan masing-masing.
"Tahniah juga kepada semua peserta, para juri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Perlis dan urus setia bertugas dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang membawa dan mengurus lapan peserta mewakili Negeri Kelantan dalam semua kategori. Semoga semua diberkati oleh Allah SWT," katanya menerusi satu catatan di media sosial nya, hari ini.
0 Comments