Dr Zulkeflee Yaacob
ISRAEL dilanda ribut pasir terburuk dalam rekod sejarah negara itu yang berlaku di beberapa wilayah selatan khususnya di Gurun Negev dan bandar Beersheba.
Cuaca ekstrem menjejaskan kawasan tengah dan sejumlah penduduk dievakuasi terutama di perbukitan Jerusalem termasuk kota Neve Shalom, Mevo Horon dan Eshtaol yang sedang dibadai kebakaran hutan dengan api turut merebak ke pangkalan tentera Israel.
Ketika kebakaran belum reda, Israel diterjah ribut pasir yang bergulung pasir dan debu menutup awan menjadikan pemandangan gelap dan menyedut segala benda di laluannya.
Ia mengubah siang menjadi malam suatu kejadian alam yang paling menakutkan.
Biar pun ia dianggap sebagai suatu fenomena meteorologi biasa di kawasan padang pasir, terutama di Gurun Sahara yang gersang namun keadaan yang berlaku begitu menakutkan.
Ia terjadi apabila angin kuat bertiup menerbangkan pasir dan kotoran dari permukaan luas dan kering seperti di Aftika Utara dan Semenanjung Arab, Iran, Pakistan, India dan China.
Ribut pasir dan debu kerap berlaku di sesetengah tempat di dunia dan satu perempat daripada ribut yang berlaku berpunca daripada perbuatan manusia, seperti dilapor media Xinhua sebagai memetik perbahasan di Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Menangani Penggurunan (UNCCD).
Malah Beijing yang dilanda ribut pasir terburuk dalam tempoh satu dekad mengakibatkan tahap penglihatan di ibu negara China itu merosot teruk.
Lalu lintas sesak teruk termasuk ratusan penerbangan utama Beijing dibatalkan. Ia menjadi lebih buruk apabila angin kencang bertiup dari Padang Pasir Gobi dan bahagian barat Laut China yang sering berlaku pada Mac hingga April.
Namun, fenomena ribut pasir yang dilaporkan media The Jerusalem Post, dan USMuslims.com menggambarkan ruang udara Israel diselubungi debu, habuk dan puing ribut pasir mengehadkan jarak penglihatan dan suhu tinggi serta angin kencang menyulitkan operasi pemadaman kebakaran.
Situasi tersebut mencetuskan keadaan darurat di seluruh Israel sehingga membatalkan sambutan Hari Kemerdekaan dan majlis menyalakan obor tradisional pada peristiwa Nakbah Palestine.
Pihak berkuasa termasuk pasukan bomba dan tentera digerakkan untuk menangani situasi yang kian meruncing. Mereka akhirnya menagih bantuan antarabangsa dari Yunani, Cyprus, Itali, Croatia dan Bulgaria.
Namun Greece, Cyprus dilapor enggan menghantar pesawat pemadam kebakaran hutan besar yang sedang marak di berhampiran Baitulmaqdis.
Ribut pasir dan kebakaran yang melanda bumi dijajah Zionis Yahudi menjelaskan terdapat kuasa yang jauh lebih besar iaitu pencipta manusia dan segala yang ada di langit dan bumi.
0 Comments