Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 27 Jun – Sebanyak 610 penyertaan daripada 22 kelab taekwondo seluruh Malaysia berjaya dihimpunkan dalam Kejohanan 20th Invitation Sara Taekwondo Club Kyorugi and Poomsae Championship Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, di sini, hari ini.
Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) Negeri Kelantan Lim Guan Seng berkata, kejohanan seumpama itu bukan sahaja membuka ruang pencarian bakat baharu dalam kalangan belia, bahkan mampu memupuk semangat kesukanan, membentuk sahsiah diri, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh disiplin dan semangat kerjasama.
“Taekwondo bukan sekadar seni mempertahankan diri. Ia membina kekuatan mental dan rohani, menjadikan generasi muda lebih berkeyakinan, berani menghadapi cabaran serta saling menghormati,” katanya ketika berucap mewakili Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, merasmikan kejohanan berkenaan.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited menyokong pembangunan belia dan sukan sebagai medium melahirkan generasi seimbang dari segi intelek, fizikal dan emosi.
Beliau turut menegaskan bahawa bidang sukan adalah jambatan perpaduan yang mampu merapatkan hubungan masyarakat berbilang kaum.
“Tahniah kepada penganjur dan semua peserta. Bersainglah secara sihat, patuhi peraturan serta hormati lawan dan pegawai pertandingan,” katanya.
Kejohanan anjuran Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan itu berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Jun, esok.
Ia menghimpunkan atlet pelbagai kaum dari seluruh negara yang bertanding dalam kategori Kyorugi dan Poomsae.
Turut hadir, Presiden Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan Manimaran a/l Subramaniam, Setiausaha PEKA, R Hareetaran a/l J. Raman dan Setiausaha Kehormat Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan Siti Zaleha Noraini Husin.
0 Comments