Oleh: Shuhada Hadzri
BACHOK, 27 Jun – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong terus membuktikan peranannya sebagai hab pertanian moden apabila dipilih sebagai lokasi perintis Projek Tanaman Bawang Negeri 2025 yang bakal membuka lembaran baharu kepada usaha pengeluaran bawang secara komersial di negara ini.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, TKPM Telong berpotensi besar dengan kemudahan infrastruktur lengkap serta sokongan logistik yang mantap, menjadikannya sesuai bagi menjayakan projek strategik ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta agensi pelaksana berkaitan.
“Kelantan memiliki tiga TKPM iaitu Telong, Lojing dan Batang Merbau yang secara keseluruhan menyumbang lebih 2,000 tan metrik hasil pertanian bernilai RM8.6 juta setahun. Kita yakin projek tanaman bawang ini akan mengurangkan kebergantungan kepada bawang import sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan tani tempatan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Tanaman Bawang di TKPM Telong, di sini pada Khamis.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, MARDI dan agensi lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek ini berjaya.
Dato' Tuan Mohd Saripudin optimis Projek Tanaman Bawang Negeri 2025 dijangka menjadi model pengeluaran bawang tempatan secara komersial yang dapat memperkukuh rantaian agromakanan negara pada masa depan memandangkan komitmen para peserta yang terlibat.
Antaranya, Muhammad Fauzi Abu Bakar, 43, mengakui beliau bersemangat untuk bergelar petani bawang moden demi menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
“Walaupun saya masih belajar, saya yakin projek ini akan berjaya dan saya teruja untuk melihat hasilnya kelak,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
![]() |
Muhammad Fauzi Abu Bakar, 43 |
0 Comments