Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 Jun – Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan Pegawai Rendah Kanan Fazril Azim Shaharuddin, mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2025.
Kejayaan tersebut membolehkan beliau menerima Piala Seri Angkasa serta sebilah Pedang Kehormat yang disempurnakan penyampaiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu majlis Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan Fazril Azim membuktikan bahawa anak Kelantan, walau dari ceruk desa, mampu mengukir kecemerlangan di peringkat tertinggi dengan usaha dan tekad yang teguh.
"Semoga Fazril Azim terus maju dan menjadi pemangkin semangat kepada anak muda yang lain untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air."
Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial miliknya, hari ini.
Fazril Azim, 24, kini ditauliahkan ke Cawangan Kejuruteraan TUDM, sejajar dengan kelulusan beliau dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian.
Untuk rekod, seramai 509 Pegawai Kadet telah terlibat dalam istiadat perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan Fazril Azim Shaharuddin.
Istiadat perbarisan tersebut merupakan pengiktirafan atas kejayaan mereka menamatkan latihan ketenteraan dan seterusnya ditauliahkan sebagai pegawai muda ATM dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
0 Comments