ECERDC CATAT PELABURAN DIREALISASI RM1.1 BILION DI KELANTAN


Oleh: Norzana Razaly

PUTRAJAYA, 30 Jun 2025 — Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya mencatat nilai pelaburan direalisasi sebanyak RM1.1 bilion di Kelantan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Kelantan. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

“Semoga segala perancangan yang dibincangkan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat dan melonjakkan lagi potensi ekonomi negeri Kelantan,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan rasmi ECERDC, antara pelaburan utama yang sedang dibangunkan di Kelantan ialah sebuah loji mini hidro berkapasiti 84 MW dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.

Dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, ECERDC turut mengumumkan bahawa Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, Kelantan telah berjaya disiapkan pada April 2025.

Post a Comment

0 Comments