SALMAH MAT HUSAIN
BACHOK: Bapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas meragut 15 nyawa di Gerik, tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana pihak termasuk pemandu bas.
Halim Sidik, 58, berkata, beliau tidak menyimpan dalam hati dan menuduh siapa salah dan betul.
"Dalam hati kita tiada dendam dan tak nak salahkan orang lain,” kata bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib, 21.
Halim yang mengalami masalah kesihatan berkaitan saraf menyatakan beliau redha dengan pemergian anaknya itu.
Bagaimanapun beliau agak terkilan kerana tidak sempat memberi buah jambu batu yang diminta arwah sebelum bertolak ke UPSI.
"Saya langsung tidak menduga kedatangan Adib pada Aidiladha lalu adalah yang terakhir setelah terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawanya bersama 14 lagi rakan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan China dekat sini semalam.
Terdahulu beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim.
Hadir sama Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ilvira Mohd Dasuki.
Arwah yang merupakan pelajar cemerlang Maahad Imtiaz Besut dan anak keenam daripada lapan beradik, tinggal bersama ibunya di Besut.
Halim juga berkata, keluarga ibu arwah anaknya di Besut menyatakan hasrat untuk menguruskan jenazah Adib dan beliau menerima keputusan tersebut untuk disemadikan di sana.
Menurutnya juga jenazah arwah berada dalam keadaan sempurna dengan hanya mengalami sedikit luka luaran.
“Adib anak yang baik, jadi tak susah untuk kami besarkan dia, apa lagi arwah pelajar agama. Kami bersyukurlah dia datang raya di sini, sempat pergi kenduri bersama-sama,” katanya.
Sementara itu Rohani menyampaikan ucapan takziah daripada Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud kepada keluarga Halim di atas kejadian yang menyayat hati itu.
Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah takdir Allah SWT dan beliau mengharapkan keluarga Allahyarham Adib sama ada di Bachok atau di Besut sabar menghadapi ujian berkenaan.
0 Comments