Ticker

6/recent/ticker-posts

SANTAI SEPETANG DI LALUAN GUILLEMARD–TEMANGAN–KUSIAL: PEMACU EKONOMI KOMUNITI MELALUI PELANCONGAN TEMATIK REL DAN SUNGAI DI TANAH MERAH


Oleh: Norzana Razaly

Idea pembangunan tarikan pelancongan bertemakan kereta api dan pengangkutan air tradisi menyusuri sungai di sepanjang laluan Guillemard–Temangan–Kusial membuka horizon baharu dalam pendekatan pelancongan lestari dan berimpak komuniti.

Demi memanfaatkan kekuatan infrastruktur sedia ada serta nilai warisan yang unik, pakej “Santai Sepetang” dirangka sebagai produk pelancongan ringan dan tidak membebankan, sesuai untuk pengunjung harian yang ingin menikmati keindahan alam dan budaya tempatan tanpa memerlukan penginapan semalaman.

Pakej cadangan ini dimulakan dengan ketibaan pelawat di Guillemard View, lokasi strategik yang menawarkan ruang parkir dan kemudahan asas pelancongan. Dari sini, peserta menaiki tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang bertolak dari Hentian Sungei Kusial pada pukul 5.13 petang menuju ke Dabong. Laluan ini merentasi Jambatan Guillemard - sebuah struktur kolonial ikonik dan mercu tanda kejuruteraan rel klasik negara.



Pengaktifan semula Hentian KTMB Sungei Kusial

Asas kejayaan pakej ini bergantung kepada pengaktifan semula Hentian KTMB Sungei Kusial, yang kini tidak lagi beroperasi setelah ditamatkan perkhidmatannya oleh KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Namun begitu, usaha menghidupkan kembali hentian ini sedang giat dilakukan oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dan Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor, dengan sokongan awal yang positif daripada pihak KTMB dan kementerian berkaitan.

Pengaktifan semula hentian ini dijangka membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak. KTMB berpotensi menikmati lonjakan penumpang dan pendapatan menerusi sektor pelancongan, manakala komuniti setempat dapat memperluas aktiviti keusahawanan, penyediaan perkhidmatan pelancongan, serta pembangunan ekonomi mikro berasaskan pengangkutan rel dan sungai.




Minum petang di Hentian Temangan

Setibanya di Hentian Temangan, peserta ditawarkan pengalaman minum petang di gerai tempatan yang menyajikan sajian tradisional Kelantan seperti akok, cek mek molek, dan teh tarik kampung. Seterusnya, peserta menaiki perahu kolek atau bot pesiaran menyusuri Sungai Kelantan dalam suasana petang yang nyaman dan mengasyikkan. Jika perkhidmatan minum petang turut ditawarkan atas bot, ia pasti memperkayakan lagi pengalaman sensori dan nilai nostalgia pelancong.

Seni bina fasad deretan kedai lama serta suasana Pekan Lama Temangan menjadi antara tarikan utama yang menghidupkan kembali nostalgia dan sejarah kawasan ini. Ia menyingkap peranan penting Pekan Temangan sebagai pusat perlombongan bijih besi utama di Kelantan sebelum dan sekitar era Perang Dunia Kedua, yang turut menerima limpahan manfaat daripada kewujudan Jambatan Guillemard sebagai prasarana penghubung yang strategik pada zamannya.

Perjalanan mudik ke hilir membawa peserta kembali ke jeti Guillemard View sebelum bersurai. Rangkaian pergerakan ini bakal mencipta naratif perjalanan yang tersusun dan menyokong prinsip pelancongan lestari yang menekankan pemeliharaan alam sekitar, pengurangan pelepasan karbon, dan penglibatan aktif komuniti setempat sebagaimana feri libur di Danau Tok Uban yang diusahakan penduduk tempatan.

Pakej ini turut menyumbang kepada pengukuhan jati diri tempatan melalui keterlibatan komuniti setempat yang boleh berkongsi kearifan tempatan, pemuliharaan warisan sejarah, budaya dan landskap semula jadi yang unik. Penawaran pengalaman sederhana namun bermakna ini juga sejajar dengan aspirasi pelancongan baharu yang berteraskan nilai, bukannya kuantiti.



Kerjasama strategik pelbagai pihak

Pelaksanaan cadangan pakej pelancongan tematik ini memerlukan kerjasama sinergistik antara pelbagai agensi dan pemegang taruh. Penglibatan bersepadu dalam kalangan komuniti Kusial Bharu, Temangan, dan MDTM sebagai pelaksana tempatan adalah signifikan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pula berperanan dalam pembangunan standard pakej, pensijilan homestay, dan promosi di peringkat nasional dan antarabangsa. Sementara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut perlu membantu merancakkan pembangunan luar bandar melalui penambahbaikan infrastruktur, pembiayaan perniagaan kepada usahawan desa serta penganjuran kursus yang relevan bagi meningkatkan kualiti hidup dan merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.

Disokong pula oleh Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) yang boleh menjadi pemacu utama promosi berfokus dan penyediaan insentif kepada pemain industri pelancongan.

Manakala Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh dan Ahli Dewan Negeri Temangan pula memainkan peranan strategik dalam usaha menyediakan dana pembangunan kecil luar bandar serta sebagai jambatan komunikasi di antara kerajaan dan rakyat.

KTMB sebagai pemilik dan pengendali perkhidmatan rel perlu dilibatkan secara rasmi dalam penjadualan semula hentian, promosi pakej pelancongan rel serta menawarkan insentif khas kepada pengguna tren DMU yang memilih pelancongan hijau ini.

Pendek kata, dengan pendekatan menyeluruh dan inklusif, pakej "Santai Sepetang" berasaskan rel dan sungai mampu menjadi produk pelancongan unik yang mengangkat naratif baharu Kelantan sebagai destinasi budaya dan sejarah dan tapak pemerkasaan ekonomi mikro, pelestarian warisan, dan pengukuhan identiti wilayah.

Dalam jangka panjang, ia berpotensi menjadi model nasional pembangunan pelancongan desa yang berpaksikan infrastruktur sedia ada dan komuniti sebagai peneraju utama.

Post a Comment

0 Comments