Ticker

6/recent/ticker-posts

JAJAHAN KUALA KRAI CATAT KEMAJUAN MELALUI 21 PROJEK PEMBANGUNAN

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh : Che Maziah Mat

KUALA KRAI, 19 Jun – Sebanyak 21 projek pembangunan sedang giat dilaksanakan di Jajahan Kuala Krai, merangkumi pelbagai inisiatif strategik yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, memperkukuh sektor pelancongan, serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Antara projek utama yang sedang giat dijalankan termasuklah Projek menaik taraf cerun di Pasar Manik Urai, Pembinaan Taman Rimba Botani (Ecological Park), Pembangunan Pusat Informasi Stong Geopark, Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah yang bakal memperkukuh jaringan perhubungan antara jajahan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Jajahan Kuala Krai, Mohd Shaifudeen Md Salleh, dalam satu taklimat pembangunan jajahan yang turut dihadiri oleh beberapa pimpinan negeri dan Persekutuan.

Mohd Shaifudeen Md Salleh,
Ketua Jajahan Kuala Krai

Dalam pertemuan tersebut, Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapannya turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan, khususnya penjawat awam dan kontraktor, dapat mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan berteraskan nilai Islam.

"Setiap penjawat awam mesti menghayati sifat ubudiyyah dengan menjadikan tugas sebagai ibadah, mas’uliyyah dan itqan dalam setiap pelaksanaan projek. Jika kita benar-benar amanah dalam menjalankan tanggungjawab, segala urusan akan dipermudahkan,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kerjasama erat antara agensi negeri dan persekutuan, yang disulami nilai Islam dalam pentadbiran akan memastikan pembangunan Kelantan terus berjalan secara berfasa, mampan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.


Sejurus selepas taklimat, Menteri Besar turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Mini Hidro Kemubu di Daerah Dabong. Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri Lawatan Kerja Kelima ke Jajahan Kuala Krai yang diadakan di Majlis Daerah Dabong.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan projek yang kini dalam fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2028.

Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Rosnazli Amin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Haji Ab Pattah Hasbullah, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman serta para pegawai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.




Post a Comment

0 Comments