Oleh: Norzana Razaly
BALAKONG, 21 Jun – Pasukan dari Unit Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan New Straits Times (NST) membuktikan keunggulan masing-masing apabila muncul juara Pertandingan Pickleball Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) SG4 2025.
Pertandingan tersebut berlangsung penuh meriah di gelanggang sukan terbabit di sini, hari ini.
Kejohanan yang bermula seawal pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu menyaksikan sebanyak 60 pemain mewakili 40 agensi media seluruh negara berentap dalam suasana penuh semangat kesukanan, muhibah dan persahabatan.
Dalam Kategori Lelaki, pasangan Ahmad Zaharuddin Zaid dan Ahmad Irsyad Somad Abdul Basit (UPKN) tampil konsisten sepanjang perlawanan sebelum dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan gandingan mantap Tan Xiao Ren dan Heng Aik Lee (Sin Chew Daily) yang berpuas hati bergelar naib juara.
Tempat ketiga menjadi milik pasangan Ahmad Fahmi dan Wan Muzhaffar (TSIS) manakala Zulfaizan dan Khairul Anuar (Berita Harian) pula menamatkan perlawanan pada kedudukan keempat.
Sementara itu, Kategori Wanita dikuasai sepenuhnya oleh pasukan New Straits Times, apabila dua pasangan mereka mendominasi pentas akhir.
Gandingan Intan Maizura Ahmad Kamal dan Shamsul Niza Shamsuddin berjaya menundukkan rakan sepasukan Junisa Jaafar Sidek dan Siti Asmah Danuri untuk meraih kejuaraan.
Pasangan Qing dan Quan (Sin Chew Daily) pula merangkul tempat ketiga, manakala gandingan dari UPKN, Norzana Razaly dan Nur Shuhada Hadzri menamatkan cabaran pada tempat keempat.
Pertandingan tersebut dianjurkan sebagai sebahagian pengisian program HAWANA SG4 2025 bagi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pengamal media dan menyemarakkan gaya hidup sihat menerusi sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti wartawan.
Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud dalam Majlis Makan Malam sempena HAWANA SG4 2025 di sebuah hotel di Bangsar, pada malam ini.
0 Comments