Ticker

6/recent/ticker-posts

LEBIH 1000 PESERTA MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SUAMI ISTERI 2025


Oleh: Asri Hamat

Tanah Merah, 1 Jun – Lebih 1,000 peserta membanjiri Dataran Majlis Daerah Tanah Merah sempena Sambutan Hari Suami Isteri Peringkat Negeri Kelantan 2025 kelolaan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa).

Program yang disambut dengan penuh penghayatan itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan bagi menunjukkan kepentingan institusi perkahwinan dan keluarga dalam membentuk masyarakat sejahtera, selari dengan syariat Islam.

Ia juga dilihat sebagai alternatif yang lebih baik dan berlandaskan nilai Islam berbanding sambutan hari kekasih.

U-KeKWa dalam satu kenyataan media pada Sabtu menyatakan bahawa program Hari Suami Isteri tersebut merupakan usaha kerajaan negeri untuk mengangkat martabat institusi perkahwinan serta memperkukuh institusi keluarga melalui nilai kasih sayang, komunikasi yang berkesan dan rasa tanggungjawab antara pasangan.


"Objektif utama Hari Suami Isteri adalah untuk memupuk penghargaan antara suami isteri serta menegaskan betapa pentingnya peranan mereka dalam membina keluarga sejahtera.

"Program ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi Kerangka Matlamat Keluarga (KMK) Negeri Kelantan bagi memperluas penghayatan Dasar Keluarga Mawaddah pada semua peringkat masyarakat.

"Ia selari dengan usaha negeri untuk melahirkan generasi yang kukuh jati diri dan berpaksikan nilai Islam," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, statistik perceraian di Kelantan dari tahun 2021 hingga 2024 menunjukkan turun naik yang membimbangkan iaitu 3,134 kes (2021), 2,721 kes (2022), melonjak kepada 4,468 kes (2023) dan menurun sedikit kepada 3,185 kes pada tahun 2024, menunjukkan perlunya usaha berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya mempertahankan institusi perkahwinan.


"Pihak kerajaan negeri menzahirkan keyakinan bahawa sambutan Hari Suami Isteri ini telah memberi impak yang besar kepada masyarakat dan akan dipertimbangkan untuk dianjurkan semula pada masa akan datang mengikut keperluan dan kesesuaian," tambah kenyataan berkenaan.

Antara momen paling menyentuh hati dalam program Hari Suami Isteri 2025 ialah penganugerahan pasangan paling lama berkahwin kepada Ismail Che Endot dan Wan Kalthom Wan Ibrahim yang telah hidup bersama sebagai suami isteri selama 51 tahun.

Pasangan tersebut menerima jambangan bunga khas yang disampaikan oleh YB Rohani Ibrahim di pentas utama sebagai tanda penghargaan terhadap cinta sejati yang menjadi inspirasi kepada semua yang hadir.

Selain itu, program turut meraikan tiga orang suami yang menulis nota cinta paling menyentuh hati buat isteri masing-masing.

Nota spontan itu dinilai berdasarkan keikhlasan dan ungkapan kasih sayang, dan para pemenang menerima cenderamata eksklusif sebagai tanda penghargaan.

"Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan suami isteri untuk saling menghargai melalui ekspresi emosi yang sederhana tetapi bermakna, bahkan berjaya mengangkat semula nilai kekeluargaan dalam masyarakat," jelas kenyataan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments