Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN TERUS UNGGULI INISIATIF KELUARGA SAMARA 2025


Oleh: Asri Hamat

TANAH MERAH, 1 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan keluarga Sakinah, Mawaddah dan Rahmah (SAMARA) apabila menganjurkan Sambutan Hari Suami Isteri 2025 yang berlangsung meriah di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada Sabtu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Rohani Ibrahim dalam ucapan perasmianya menegaskan bahawa Kelantan sentiasa memberi penekanan kepada pembentukan keluarga yang sejahtera selaras dengan panduan syariah.

"Dasar Keluarga Mawaddah, yang digazetkan sejak tahun 2008, menjadi tunjang kepada usaha kerajaan negeri dalam melahirkan keluarga yang memiliki nilai sakinah, mawaddah dan rahmah atau disebut sebagai keluarga "SAMARA".

“Manakala program Hari Suami Isteri pada hari ini pula yang merupakan satu-satunya dianjurkan di negara ini, malah mungkin di dunia, yang mengiktiraf kasih sayang dan cinta antara suami isteri secara patuh syariah.

"Ia alternatif yang lebih bermakna kepada sambutan seperti hari kekasih yang tiada nilai dalam Islam,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut pada Sabtu.

YB Rohani juga turut mengimbas pesanan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, agar umat Islam menolak budaya cinta bebas yang belum dihalalkan.

Tambah beliau, dalam sebuah mahligai perkahwinan tidak bebas dari pelbagai cabaran. Ia merupakan satu fitrah dalam membina bahtera keluarga.

"Sebuah mahligai perkahwinan pasti lah ada keindahan dan cabaran tersendiri.

Setiap kali usia perkahwinan bertambah, cabaran pasti ada. Namun itu adalah fitrah kepada sebuah perjuangan bernama bahtera keluarga.

"Selagi kita masih bernyawa, tiada insan akan terlepas daripada ujian kerana dunia adalah tempat ujian.

"Keluarga bahagia bukanlah yang sempurna, tetapi yang saling menerima dan menghargai kekurangan masing-masing,” tambahnya.

YB Rohani juga menyeru semua pasangan agar sentiasa memperbetul niat, memperbaiki komunikasi, mewujudkan suasana harmoni, mengamalkan ibadah bersama serta mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka.

Turut hadir, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin, Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Dato' Abdul Rahman Yunus, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) Timbalan Ketua Jajahan Tanah Merah, Norazman Mat Nawi dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Ilvira Mohd Dasuki.

Antara pengisian menarik pada program tersebut perkongsian tips membina keluarga mawaddah oleh penceramah dan motivator tersohor tanah air Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin.


Di samping itu, acara sukan melibatkan pasangan suami isteri di padang turut diadakan sebagai simbol usaha memperbaharui kehangatan cinta.

Anak-anak pula disediakan aktiviti khas dalam dewan bagi memberi ruang kepada ibu bapa menikmati "honeymoon kedua".

Post a Comment

0 Comments