Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 9 Jun – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melaksanakan Majlis Ibadat Korban Jama’ie 1446 Hijrah/2025 Masihi melibatkan penyembelihan 49 ekor lembu.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, diserikan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra yang berkenan mencemar duli menyaksikan sendiri proses penyembelihan lembu korban.
Yang Dipertua MAIK, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan medianya semalam memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, lima ekor lembu merupakan kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Sumbangan lembu korban pada tahun ini juga melibatkan kerabat diraja, agensi kerajaan serta orang awam. Ini menzahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian sosial masyarakat Islam Kelantan,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, daging korban akan diagihkan kepada 2,000 ketua isi rumah yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri melalui rangkaian masjid negeri, bandar dan jajahan yang telah dikenal pasti.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan semata-mata, tetapi melambangkan ketaatan, pengorbanan serta usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Semoga ibadah korban ini mampu meningkatkan keimanan dan keinsafan dalam diri umat Islam untuk terus berbakti dan taat kepada perintah Allah SWT,” katanya.
YBM Tengku Mohamad Rizam turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Ibadat Korban Jama’ie MAIK bagi tahun ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud yang turut menyembelih seekor lembu korban sebagai simbol penglibatan pemimpin negeri dalam ibadah berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' Dr Mohd Amar Abdullah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato' Mohd Anis Hussein.
0 Comments