KOTA BHARU, 10 Jun – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang berlaku di Gerik, Perak, pada awal Isnin.
Kemalangan tragik itu membabitkan sebuah bas yang dinaiki siswa-siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza.
“Saya amat bersimpati dan tersentuh dengan insiden kemalangan ini. Kehilangan anak-anak muda yang merupakan harapan keluarga, agama, bangsa dan negara ini merupakan satu kehilangan besar buat kita semua,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.
Beliau juga mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dan seluruh rakyat negeri itu, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Semoga mereka yang terlibat dikurniakan ketabahan dan kekuatan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian ini. Bagi mangsa yang tercedera, saya mendoakan agar mereka diberi kesembuhan yang segera dan sempurna,” katanya.
Dalam kejadian jam 1 pagi, 9 Jun, sebuah bas yang membawa 42 penuntut UPSI terlibat dengan kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur - Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik. Kemalangan tersebut meragut nyawa 15 penuntut UPSI yang mahu kembali ke kampus UPSI selepas pulang menyambut hari raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing di Terengganu.
0 Comments