Ticker

6/recent/ticker-posts

PROJEK NAIK TARAF LONGKANG KAMPUNG KOTA, DAPAT ATASI MASALAH AIR BERTAKUNG - YB SAIZOL


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 24 Jun – Projek menaik taraf longkang konkrit di Kampung Kota yang kini sedang dilaksanakan dijangka mampu menyelesaikan masalah air bertakung yang telah berlarutan sejak puluhan tahun lalu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor, YB Saizol Ismail berkata, projek tersebut dilaksanakan dalam dua fasa di bawah peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Projek Kampung Angkat Madani dengan nilai keseluruhan RM772,900 melibatkan jarak sekitar 700 meter bermula dari Kampung Kota hingga ke Kampung Gaung.

“Projek ini akan disambung ke fasa kedua oleh syarikat konsesi Roadcare dengan nilai tambahan RM1.7 juta. Apabila siap kelak, projek ini diharap dapat menyelesaikan isu perparitan yang menyebabkan air termenung terutama ketika musim tengkujuh,” katanya kepada media semasa membuat tinjauan kemajuan projek itu di Kampung Kota, hari ini.

Menurut YB Saizol lagi, masalah air bertakung sering berlaku dari kawasan bulatan Kampung Kota sehingga Kampung Gaung dengan paras air yang kadang-kala mencecah paras paha sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan ringan dan mengambil masa sehingga seminggu untuk surut.


“Kita amat bersyukur kerana kampung ini terpilih sebagai Kampung Angkat Madani. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JKR, khususnya kepada Ketua Pengarah dan Pengarah JKR negeri atas komitmen berterusan membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya.

Tambah beliau, masalah ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan kerja penyelenggaraan kerana struktur longkang yang rosak teruk dan ia memerlukan penaiktarafan sepenuhnya.

“Projek fasa pertama dijangka siap pada 13 Julai ini sebelum disambung ke fasa kedua oleh Roadcare dalam tahun yang sama. Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Kota.

Selain itu, beberapa kawasan lain di DUN Salor turut dikenal pasti mengalami isu sama termasuk Kampung Mulong, yang kini turut menerima peruntukan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sedang dalam pelaksanaan,” katanya.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Pengarah JKR Negeri Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacob.



Post a Comment

0 Comments