![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 24 Jun – Rakyat Negeri Kelantan diseru agar memanfaatkan sepenuhnya tanah yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan mengusahakannya untuk tujuan pertanian demi kesejahteraan diri dan keterjaminan makanan.
Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tanah yang diusahakan untuk tujuan pertanian bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha, malah turut memberi manfaat kepada orang lain.
“Kita mahu rakyat mengusahakan tanah yang Allah kurniakan untuk mendapatkan hasil. Ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pengusaha, malah juga dapat membantu orang lain untuk mendapatkan manfaat daripada apa yang kita usahakan itu.
"Jika tanah itu dibiarkan tanpa diusahakan, dibimbangi akan dipersoalkan di akhirat kelak."
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja beliau ke Ladang Harum Manis Komuniti Al-Falah di Melawi, Bachok, pada Isnin.
YB Dato' Dr Mohamed Fadzli turut memaklumkan bahawa Malaysia kini mengimport makanan melebihi RM65 bilion setahun dan merupakan satu jumlah yang sangat besar.
"Maknanya terlalu banyak wang yang digunakan untuk mengimport makanan dari negara luar. Tambahan pula, kini orang bercakap tentang keterjaminan makanan, yang membawa maksud ada lagikah makanan untuk dimakan selepas ini sekiranya kita tidak usahakan untuk menanam sendiri sumber makanan tersebut.
"Keadaan ini berlaku disebabkan kita terlalu berharap kepada orang lain untuk mengusahakannya dan kita hanya menunggu untuk membeli. Katakanlah ada satu masa kita tidak ada duit untuk membeli, maka apa yang kita akan makan, ataupun kita ada duit tapi orang tidak mahu menjualnya kepada kita, ataupun kita ada duit tapi sumber makanan tidak sampai kepada kita disebabkan apa-apa musibah seperti Perang.
"Jadi dalam keadaan tanah kita subur, luas tapi tiba-tiba kita tidak ada makanan untuk dimakan. Itulah yang kita bimbang, kalau-kalau ia mengundang kemurkaan Allah," katanya.
Mengulas mengenai trend pengeluaran buah-buahan negara, beliau memaklumkan bahawa berlaku peningkatan dari 1.68 juta tan metrik pada tahun 2021 kepada 1.88 juta tan metrik pada tahun 2023. Namun, angka itu masih belum mencukupi untuk keperluan rakyat.
"Sebab itu, Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia mahu Kelantan menjadi negeri pengeluar makanan dan bukan negeri perindustrian.
“Jadi, kita di Kelantan sangat rugi kalau kita mempunyai tanah tetapi tidak diusahakan, sedangkan ia mampu menjadi penyumbang besar kepada hasil pertanian negara,” jelasnya.
Untuk rekod, Kelantan kini berada di kedudukan keempat tertinggi dari segi pengeluaran buah-buahan negara dengan jumlah 134,270 tan metrik setahun. Daripada jumlah itu, Jajahan Bachok menyumbang lebih 26,000 tan metrik atau 20 peratus.
Mengulas tentang penghasilan mangga harum manis di Melawi, beliau memuji usaha komuniti tempatan yang berjaya menghasilkan buah setanding harum manis Perlis.
“Rasanya pun kalau tidak lebih pun, sama seperti harum manis Perlis. Mungkin bezanya hanya sedikit dari sudut bau,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada semua pengusaha ladang harum manis Komuniti Al-Falah.
Dalam majlis tersebut juga, YB Timbalan Menteri Besar turut menyampaikan bantuan input pertanian kepada 10 orang peserta baharu projek tanaman harum manis Al-Falah yang berjumlah RM10,000 setiap seorang.
Turut serta dalam lawatan tersebut adalah, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Dato' Md Anizam AB Rahman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Husin, Ketua Jajahan Bachok, Mohd Zaki Yusoff dan Pengurus Besar KPKB, Mohd Mukhlis Mokhtar.
0 Comments