Ticker

6/recent/ticker-posts

RAKYAT KELANTAN DISERU SAMBUT HARI WUKUF DI 14 PARLIMEN, ESOK


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 5 Jun – Umat Islam di seluruh Kelantan diseru menzahirkan solidariti ummah dengan mengagungkan kebesaran Hari Wukuf menerusi penglibatan dalam program Sambutan Penghayatan Hari Wukuf, esok.

Program kerohanian berkenaan dijadualkan berlangsung serentak di 14 kawasan Parlimen negeri ini pada 9 Zulhijjah, Jumaat.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri itu dikelolakan Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi dan melibatkan pelbagai pengisian rohani serta tazkirah khas sempena kemuncak ibadah haji yang sedang berlangsung di Tanah Suci.

Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyeru seluruh muslimin dan muslimat agar mengambil peluang memperbanyakkan amalan sunat, khususnya puasa sunat Arafah, bagi yang tidak mengerjakan haji.

“Hari Wukuf adalah hari yang amat agung di sisi Allah SWT. Sunat bagi mereka yang tidak berada di Arafah untuk berpuasa pada hari itu. Semoga penghayatan ini menjadi asbab turunnya keberkatan kepada rakyat dan negeri Kelantan secara keseluruhannya,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau lagi, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyemarakkan suasana ibadah dalam kalangan rakyat, tetapi juga sebagai satu pendekatan menyatukan hati umat Islam dalam doa, pengharapan dan pengorbanan, selari dengan semangat Aidiladha.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat agar menjadikan program ini sebagai satu medan pengislahan diri dan peningkatan takwa.

“Semoga usaha ini menjadi amal jariah yang berkekalan dan membuka jalan kepada kebaikan yang lebih besar buat negeri ini, insya-Allah,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments