Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN NEGERI BERSEDIA DENGAR SUARA PEKEBUN KECIL, BERI TEMPAT DALAM PERANCANGAN DASAR NEGERI

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail sewaktu menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM)

Oleh: Asri Hamat 

KOTA DARULNAIM, 5 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk terus memberi perhatian dan ruang kerjasama kepada pekebun kecil, untuk memastikan suara petani dan pekebun kecil diberi tempat dalam perancangan dasar negeri, di samping  untuk memperkasa sektor pertanian serta menjaga kebajikan golongan berkenaan di negeri ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Selasa.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang diketuai Presidennya, Adzmi Hassan di pejabatnya di Mabna.

Turut hadir dalam delegasi berkenaan ialah Setiausaha Agung PKPKM, Ketua Biro Kebajikan serta wakil-wakil pekebun kecil dari Kelantan.



Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, kunjungan tersebut bertujuan untuk berkongsi maklumat, pandangan serta harapan besar berkaitan masa depan industri pertanian, khususnya melibatkan peranan dan nasib pekebun kecil di Kelantan.

"Antara isu utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuklah kebajikan pekebun kecil, akses kepada bantuan kerajaan, pengukuhan dasar pertanian, serta peranan strategik PKPKM sebagai penghubung antara kerajaan dan komuniti pekebun kecil," jelasnya. 

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap semangat dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh PKPKM dalam memperjuangkan nasib para petani dan pekebun kecil.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus membuka ruang kerjasama seperti ini demi memastikan suara petani dan pekebun kecil sentiasa didengar dan diberi tempat dalam perancangan dasar negeri,” katanya.

Untuk rekod, PKPKM yang ditubuhkan sejak tahun 1975 merupakan badan yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai wakil tunggal pekebun kecil di Malaysia.  Sehingga tahun 2023, PKPKM mempunyai lebih daripada 150,000 ahli, dengan hampir 50,000 daripadanya merupakan ahli aktif.

Post a Comment

0 Comments