![]() |
YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
TANAH MERAH, 20 Julai – Seramai 1000 pelumba terdiri daripada 800 orang ramai dan 200 penjawat awam menyertai Larian Guillemard 2.0 bersempena ulang tahun ke-101 jambatan kereta api bersejarah itu, pada Sabtu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata kerajaan negeri bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan terus menambah elemen berkaitan sejarah jambatan untuk menarik pelancong.
“Kerajaan negeri merancang menaik taraf acara larian ke peringkat antarabangsa dengan kerjasama KTMB, termasuk mengadakan larian di atas jambatan kereta api yang merentasi Sungai Kelantan.
“Acara lumba perahu juga akan diperkenalkan di Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Guillemard mulai tahun hadapan. Acara ini sebagai produk pelancongan baharu, melengkapi acara larian yang telah dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri,” katanya ketika merasmikan acara, semalam.
Hadiah lumayan berupa wang tunai dan medal dihadiahkan kepada pemenang iaitu RM200 untuk juara, RM150 naib juara, RM100 tempat ketiga dan RM70 saguhati bagi tempat keempat dalam kategori 7 kilometer (km).
Manakala RM150 berserta medal buat juara kategori 5 km, RM100 kepada naib juara, RM80 bagi tempat ketiga dan saguhati RM50 untuk tempat keempat.
Menariknya, keluarga Amiruddin Nasir mewakili Angkatan Tentera Malaysia merangkul juara bagi kategori lelaki dewasa manakala isterinya Nor Syarifah Rozaki (Polis Diraja Malaysia) mengungguli kategori wanita dewasa. Masing-masing membawa pulang RM150 berserta medal. Anak mereka Noor Alia Natasha menduduki tempat ketiga kategori remaja dan membawa pulang RM80 berserta medal.
Acara berprestij berskala antarabangsa anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) itu turut disertai pelumba dari Indonesia dan diurusetiakan oleh Kelab Sahabat Hikres Kelantan (K-Hikers).
0 Comments