Bekerja Tempoh Panjang Punca Tekanan Kerja Petugas Kesihatan

Oleh: SALMAH MAT HUSAIN





KOTA BHARU: Ramai graduan perubatan termasuk jururawat kini lebih cenderung berkhidmat di sektor swasta berbanding sektor awam.

Situasi ini berlaku kerana Suruhanjaya Perkhidmatan tidak mengisi kekosongan jawatan doktor dan jururawat yang sedia ada di hospital serta klinik kesihatan seluruh negara.

Sedangkan langkah pengisian itu penting bagi menangani bebanan kerja luar biasa yang sedang ditanggung oleh petugas kesihatan ketika ini.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah, berkata kesukaran mendapatkan penempatan kerja juga menyebabkan banyak klinik swasta baharu wujud dan dikendalikan oleh doktor muda yang kurang berpengalaman.

“Akibat kekurangan doktor dan jururawat, mereka yang masih berkhidmat terpaksa bekerja dalam tempoh masa lebih panjang daripada sepatutnya, sehingga menimbulkan tekanan kerja.

Keletihan melampau dan tekanan ini berpunca daripada nisbah tidak seimbang antara jumlah pesakit dan petugas kesihatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Dalam masa sama, pertambahan jumlah pesakit serta kewujudan pelbagai penyakit baharu menjadikan keperluan terhadap saringan kesihatan semakin meningkat.

“Tiada alasan kerajaan menangguhkan pengisian jawatan kosong sedia ada di semua fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik kesihatan daerah.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan penambahan jawatan baharu bagi doktor dan jururawat supaya sistem kesihatan negara tidak terus berada dalam keadaan tertekan,” ujarnya.

Hilmi turut menyatakan kebimbangan terhadap trend penghijrahan doktor dan jururawat ke luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi serta fasiliti dan teknologi perubatan yang lebih baik berbanding Malaysia.

“Negara-negara Timur Tengah misalnya menawarkan ganjaran lumayan kepada jururawat termasuk yang hanya berkelulusan diploma.

Ini menjadi tarikan besar hingga ramai memilih untuk terus menetap di luar negara, sekali gus menyebabkan kita kehilangan tenaga pakar,” katanya.

Menurutnya, pendekatan "Satu Doktor Satu Keluarga" yang diperkenalkan baru-baru ini dapat membantu menangani peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Jika di Kelantan kita tekankan konsep satu keluarga satu hafiz, maka konsep satu keluarga satu doktor juga sangat baik.

Ia dapat mendidik masyarakat menjaga kesihatan melalui nasihat dan pemantauan berkala oleh pegawai kesihatan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments