Dasar Membangun Bersama Islam perkukuh perpaduan rakyat Kelantan

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 8 Julai – Dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan terus membuktikan keberkesanannya dalam mewujudkan serta memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, dasar ini telah diterapkan secara menyeluruh dalam pelbagai aspek pentadbiran dan sosial, menjadikan negeri Kelantan sebagai model kepada pihak lain dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, sejahtera dan inklusif.

"Prinsip keadilan dan kebajikan kepada rakyat akan terus dijunjung tinggi dan dilaksanakan dengan saksama tanpa diskriminasi dan latar belakang politik, kaum dan agama.

"In sya Allah, prinsip ini sentiasa segar dalam ingatan kepimpinan di setiap peringkat untuk memastikan keadilan kepada semua terus dilaksanakan.


“Perbezaan antara kita bukanlah suatu kelemahan, tetapi adalah kekuatan yang mampu membina kehidupan harmoni jika disulami dengan kasih sayang dan saling memahami."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Mesra Antara Kaum 2025, di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu pada Isnin.

Tambah Dato' Mohd Nassuruddin lagi, , sejarah negara sejak mencapai kemerdekaan harus dijadikan pedoman untuk mempertahankan perpaduan dalam masyarakat.

"Oleh sebab itu, semangat patriotisme perlu disemarakan dalam jiwa rakyat, agar mereka sentiasa mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu," tambah beliau.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Kelantan untuk bersama-sama mendokong hasrat murni kerajaan untuk menzahirkan sebuah perpaduan kaum yang menjadi model kepada pihak lain dengan acuan Penghayatan Membangun Bersama Islam.

"Tunjukkanlah bahawa rakyat Kelantan walaupun berbeza latar belakang, kita tetap mampu hidup bersama dalam suasana kasih sayang dan saling memahami," ujarnya.

Bicara Santai Mesra Kaum

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dimulakan dengan acara bicara santai mesra kaum yang menampilkan pasangan suami isteri iaitu Sabri Yunus dan Angline Tan (Ardini) sebagai panel dan diteruskan dengan acara persembahan kebudayaan kaum.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' MD Anizam AB Rahman, Ketua Polis Kelantan, YDH CP Dato' Mohd Yusoff Mamat, Ketua Hakim Syarie, YAA Dato' Ibrahim Deris, Konsul General Thailand, Phasit Chudabuddhi, Pengarah JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), Lim Guan Seng.




Post a Comment

0 Comments