Kelantan bebas kes jangkitan Covid-19

Oleh : SALMAH MAT HUSAIN



KOTA BHARU: Kelantan kekal bebas daripada sebarang kes jangkitan Covid-19 sehingga sekarang biar pun beberapa negara jiran termasuk Thailand dan Singapura berdepan lonjakan kes yang membimbangkan sejak pertengahan Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, tiada kes baharu direkodkan di Kelantan.

“Kita dimaklumkan kes yang dilaporkan berlaku pertengahan Jun lalu di Singapura. Itu pun belum dapat disahkan secara terperinci dari sudut saintifik,” katanya di sini

Oleh itu beliau menasihatkan rakyat Kelantan terus mengamalkan langkah pencegahan seperti menjaga kesihatan dan kebersihan diri bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Katanya juga jika mengalami gejala, segera melakukan ujian saringan di klinik kesihatan dan pakai pelitup muka terutama ketika berada di tempat awam.

"Sekiranya seseorang disahkan dijangkiti Covid-19, mereka perlu segera mengasingkan diri (kuarantin) bagi mengelakkan penularan kerana virus tersebut dikategorikan sebagai endemik dan bukannya pandemik," ujarnya.

Menurut laporan antarabangsa pada pertengahan Jun lalu, Thailand menghadapi gelombang baharu Covid-19 yang serius dengan lebih 111,000 kes jangkitan dan 31 kematian direkodkan dalam tempoh seminggu.

Pakar kesihatan dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn, Prof Madya Dr Thira Woratanarat mendedahkan Covid-19 kini menjadi penyakit paling kerap dilaporkan dalam sistem pengawasan negara itu.

Katanya jumlah kematian akibat Covid-19 di Thailand tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat influenza.

"Lebih 400,000 individu telah mendapatkan rawatan akibat wabak tersebut sejak awal tahun ini," ujarnya.

Pihak berkuasa kesihatan Singapura turut memantau peningkatan jangkitan Covid-19 susulan lonjakan melebihi 3,000 kes dalam minggu khususnya pertengahan Jun lepas.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan bersama berkata, jumlah kes Covid-19 yang dianggarkan bagi minggu 27 April hingga 3 Mei meningkat kepada 14,200 kes, berbanding 11,100 kes pada minggu sebelumnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan satu kematian akibat Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24), iaitu kematian pertama direkodkan pada tahun ini.

Kes tersebut melibatkan individu yang menghidap penyakit jantung dan diabetes, serta tidak menerima dos penggalak kedua.

Post a Comment

0 Comments