
SELEPAS lama agak sepi, politik Malaya kembali hangat. Sabtu ini sekali lagi akan berlangsung siri himpunan rakyat. Hampir tiga tahun kerajaan Madani menguasai Putrajaya, rakyat terus merungut.
Janji reformasi yang dilaungkan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sekadar tinggal catatan. Bukan sekadar tinggal kenangan, sebaliknya bercanggah dengan apa yang dilaungkan ketika berada di saf pembangkang.
Tiada lagi hari ini menang, esok harga minyak turun. Mungkinkah ia mengulang skrip lama, janji pilihan raya bukan kitab suci. Apa maknanya.
Apa yang jelas rakyat terus kecewa. Bagi meluahkan perasaan kecewa sekali ini himpunan awam digerakkan. Himpunan aman rakyat sebelum ini ternyata berupaya mengugatkan keutuhan kerajaan.
Situasi seperti itu berlaku di mana-mana. Kesan protes rakyat akhirnya pemerintah tumbang. Masihkah anda ingat.
Reformasi
Pada 1998 demonstrasi rakyat yang digerakkan mahasiswa di Institut Teknologi Bandung, Indonesia memulakan episod kejatuhan Suharto.
Demonstrasi lebih besar berlaku di universiti lain termasuk Universiti Indonesia dan Universiti Gadjah Mada. Penunjuk perasaan memprotes kenaikan harga minyak dan tenaga secara besar-besaran. Mereka menuntut Suharto berundur.
Krisis ekonomi dan politik yang teruk berpunca krisis kewangan Asia 1997 membangkit amarah rakyat Indonesia. Dan akhirnya pada 21 Mei 1998
Suharto meletakkan jawatan sebagai Presiden Indonesia selepas 32 tahun menerajui negara itu.
Pilihan raya adil
Di negara kita juga berlaku situasi serupa. Perhimpunan pertama anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) diadakan 10 November 2007.
Himpunan itu turut disertai parti pembangkang dan NGO bagi menuntut pilihan raya yang adil. Media melaporkan perhimpunan itu disertai 100,000 peserta.
BERSIH mengadakan lagi beberapa siri himpunan iaitu pada 2011 dan 2012. Himpunan aman BERSIH pada 2015 memberi isyarat awal kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Himpunan BERSIH 2015 dilaksanakan sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan. Ia diadakan pada 29 hingga 30 Ogos 2015 di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
BERSIH menuntut diadakan reformasi pilihan raya di Malaysia. BERSIH mahu keadilan sejagat lebih bebas, terbuka dan bersih daripada unsur sabotaj, ketirisan dan rasuah pilihan raya.
Dan akhirnya PRU ke-14 pada 2018, kerajaan BN jatuh selepas menguasai negara sejak merdeka. Pertama kali dalam sejarah, pembangkang mentadbir negara.
Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu mengambil alih teraju negara.
PH memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen. Sejarah baharu Malaysia tercatat apabila gabungan pembangkang berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
Namun, di era kerajaan PH juga berdepan dengan himpunan aman rakyat. Perhimpunan Anti-ICERD (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum) yang diadakan di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018 dianggap kemuncak kebangkitan rakyat.
Perhimpunan itu dianjurkan pembangkang yang disertai PAS, Umno dengan sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Rakyat menentang cadangan kerajaan PH mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).
Himpunan tersebut juga membawa bibit-bibit kejatuhan kerajaan PH. Kerajaan PH berkuasa selama 22 bulan sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri.
‘Turun Anwar’
Dan kini kerajaan Madani juga diuji dengan siri himpunan rakyat. Himpunan ‘Turun Anwar’ akan diadakan pada 26 Julai ini.
Himpunan itu digerakkan ekoran peningkatan kos sara hidup rakyat dan pelbagai kemelut politik. Perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ternyata menekan rakyat.
SST yang diperkenalkan kerajaan PH pada 2018 menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksana di era Najib Razak.
Mulai 1 Julai 2025 kadar cukai perkhidmatan meningkat daripada 6 kepada 8 peratus. Lebih banyak perkhidmatan baharu dikenakan cukai termasuk logistik, pembangunan perisian, khidmat broker dan perkhidmatan kecantikan.
Kesan kenaikan cukai SST kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyebabkan kos penghantaran dan logistik meningkat.
SST hari ini dikenakan kepada gudang, penghantaran dan pengangkutan barang menyebabkan kos meningkatkan. Begitu juga perniagaan e-dagang peningkatan kadar SST menjejaskan margin keuntungan.
Selain itu sewaan ruang pejabat atau kedai komersial terkesan dengan kenaikan kadar SST. Rakyat juga terpaksa menanggung beban kos khidmat profesional. Sedangkan perkhidmatan peguam, perunding atau agensi pemasaran sebelum ini tidak dikenakan SST.
Menyedari bebanan terpaksa dipikul rakyat, menteri mengingatkan peserta himpunan tidak membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak membawa kanak-kanak Sabtu ini.
“Kalau mereka langgar kita terpaksa ambil tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilapor media.
Polis pula menganggar kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 peserta Sabtu ini. Namun, ahli parlimen Arau Shahidan Kassim meramalkan antara 300,000 hingga 500,000 orang.
Manakala Lawyers for Liberty (LFL) menggesa penjawat awam tidak mengendahkan amaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar agar tidak menyertai himpunan ‘Turun Anwar’.
Pengarahnya Zaid Malek dilapor menyifatkan amaran itu sebagai ‘tidak sah di sisi undang-undang’ dan menganggap tindakan terdesak kerajaan.
Mungkinkah isyarat 26.7.2025 juga mengulangi apa yang berlalu pada 8.12. 2018 dan 30.8.2015. Apa pun kita tunggu dan lihat permulaan agenda ‘Turun Anwar’.
0 Comments