Oleh: Norzana Razaly
BACHOK, 3 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan untuk terus membuka ruang kepada idea-idea kritikal, termasuk gagasan yang dilihat berlawanan dengan arus perdana, demi memastikan perkembangan tamadun dan pembaharuan yang bermanfaat dapat diteruskan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor menegaskan walaupun idea berlawanan arus kadangkala dibimbangi oleh pemerintah, Kelantan menjamin ruang terbuka kepada wacana sihat demi kemajuan bersama.
"Secara peribadi, saya menyetujui teori dialektik bahawa pertembungan dua unsur yang bertentangan akan menghasilkan geseran yang mencetuskan kemajuan," katanya.
Beliau juga mengakui hampir setiap zaman dalam lipatan sejarah menyaksikan pena para pemikir menjadi pencetus perubahan besar sesebuah bangsa dan negara.
"Sesungguhnya hampir setiap zaman adanya pena perkembangan tamadun menzahirkan pemikir berkongsi pandangan dari timur, barat, utara dan selatan. Rantau Melayu juga terkenal dengan penulis agung dari Sumatera, manakala ulama dalam bidang fekah tersohor Kelantan Tok Kenali juga berpendirian terhadap hal ekonomi dan politik yang mencetuskan perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sesi Penulis Bersama YB Datuk Kamarudin Md Nor sempena Perkampungan Penulis Wilayah Timur di Sudara Beach Resort, Bachok, malam ini.
Menurutnya, dunia membuktikan bagaimana idea penulis dan pemikir boleh membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
"Amerika yang asalnya tanah jajahan Britain, dapat merdeka hasil idea John Adam yang dibawa oleh tokoh kemerdekaan Amerika Thomas Jefferson.
"Begitu juga Muhammad Ali Jinnah membawa pemikiran Allama Muhammad Iqbal yang menzahirkan kemerdekaan Pakistan. Di Timur Tengah dan Timur Jauh, idea penulis turut merombak sistem pemerintahan, begitu juga Revolusi Perancis yang tercetus daripada penulisan berani kelompok pemikir," ujarnya.
Dalam majlis yang bertemakan ‘Pena Bertemu, Ukhuwah Bertaut’ itu, para penulis dari Kelantan dan Terengganu berhimpun selama tiga hari dua malam bagi mengangkat peranan penulis sebagai pemangkin minda bangsa.
Sesi dialog turut menyaksikan sasterawan Awang Abdullah melontarkan cadangan agar Kerajaan Negeri Kelantan membeli sekurang-kurangnya 500 naskhah buku karya penulis kelahiran Kelantan sebagai tanda sokongan.
"Kita juga bangga kerana di Kelantan dan Sabah ramai penulis bukan Melayu. Sewajarnya kelompok ini diraikan saban tahun melalui anugerah khas yang disertakan penghargaan material, tanpa perlu bersaing dengan penulis Melayu," sarannya.
Sementara itu, Presiden Liga Penulis Kelantan Mohd Dahri Zakaria pula mengusulkan supaya kerajaan negeri menyediakan pusat khas untuk persatuan penulis beraktiviti dan melaksanakan program pembangunan sastera secara berstruktur.
Datuk Kamarudin menyambut baik semua usul berkenaan dan meminta idea tersebut dikemukakan secara rasmi melalui gabungan badan penulis.
Beliau turut menyeru para penulis untuk terus menajamkan pena agar dapat membimbing masyarakat ke arah tamadun berilmu, beradab dan bertanggungjawab.
0 Comments