Projek Hidroelektrik Nenggiri Dijangka Beroperasi 1 Jun 2027


Oleh: Asri Hamat

GUA MUSANG, 4 Julai – Projek Hidroelektrik Nenggiri yang sedang giat dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) kini telah mencapai kemajuan sebanyak 56 peratus siap dan dijangka mula beroperasi pada 1 Jun 2027.

Menurut Ketua Pegawai Pembangunan TNB Genco, Shahrir Abdul Latiff, projek berimpak tinggi yang dimulakan pada Mac 2022 ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan mencecah RM5 bilion.

Katanya, setelah siap projek ini mampu menjana kapasiti tenaga sebanyak 300 megawatt (MW), sekali gus menyumbang kepada kestabilan tenaga nasional.

“Projek ini bukan sahaja menyumbang kepada sumber tenaga boleh diperbaharui negara, tetapi juga membawa pelbagai manfaat sosioekonomi kepada negeri Kelantan dan komuniti sekitarnya.

"Antara manfaat utama projek ini termasuk pengurusan banjir yang lebih efisien semasa musim tengkujuh apabila Empangan Nenggiri dapat mengawal aliran dan paras air Sungai Nenggiri.

"Selain itu, empangan ini akan menyediakan bekalan air bersih serta sistem pengairan ke kawasan hilir, membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, menyediakan penempatan yang lebih selesa kepada komuniti Orang Asli dan memperkukuh potensi agro-pelancongan di negeri Kelantan."


Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat tentang projek hidroelektrik Nenggiri, sempena lawatan kerja Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, ke tapak projek tersebut pada Khamis.

Setelah siap, empangan ini akan membentuk tasik takungan seluas 53.84 kilometer persegi dan kolam pengairan seluas 0.97 kilometer persegi, menjadikannya antara projek tenaga hidro yang paling signifikan di Pantai Timur.

Kata Shahrir lagi, lanjutan kepada pembangunan projek ini, TNB Genco turut merancang membina projek hidroelektrik solar terapung di kolam takungan utama empangan dengan anggaran kapasiti 700 MW. Projek bernilai lebih RM2 bilion itu dijangka siap menjelang 2028.

“Gabungan tenaga hidro dan solar akan menjadikan Nenggiri dan negeri Kelantan sebagai pusat tenaga lestari yang menggabungkan inovasi teknologi dan tanggungjawab sosial,” jelas Shahrir.


Jelas beliau lagi, bagi memastikan pelaksanaan projek ini menepati piawaian keselamatan dan kelestarian alam sekitar, TNB Genco turut menjalankan ekskavasi arkeologi serta pemuliharaan warisan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Bagi memelihara khazanah sejarah kawasan tersebut, TNB Genco akan membangunkan sebuah galeri mini di Gua Musang yang akan menempatkan artifak yang ditemui sepanjang proses ekskavasi. Galeri tersebut dijangka siap pada tahun 2027,"

Dalam aspek pembangunan komuniti, TNB Genco tidak melupakan tanggungjawab sosialnya. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan kepada pelajar cemerlang dan peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli. Antaranya termasuk pelantikan seorang anak muda Orang Asli suku Temiar dari Pos Pulat sebagai juruteknik awam di pusat projek bermula Januari 2025.

Sempena lawatan kerja Menteri Besar itu juga, dua orang pelajar cemerlang SPNM dari Gua Musang telah menerima bantuan pengajian ke Intitut Pengajian Tinggi (IPTA dan IPTS) daripada TNB. Mereka ialah Nur Syafienaz Nazri, anak Orang Asli dari suku Temiar dan Mohd Alif Firdaus Mohd Zamri.



Shahrir turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Kelantan di aras sokongan padu sejak permulaan projek ini lagi.

"Membangunkan projek berskala besar seperti projek hidroelektrik Nenggiri ini amat mencabar dari segala aspek. Tanpa sokongan yang kuat daripada Kerajaan Negeri Kelantan, kami pasti projek ini tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Jadi di kesempatan ini kami di TNB Genco mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan di atas segala sokongan, bantuan yang telah diberikan sejak awal projek ini bermula.

"Kami amat menghargai segala sokongan daripada kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran projek ini sehingga ia dapat beroperasi secara komersial pada 2027 nanti," katanya.

Post a Comment

0 Comments