![]() |
YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 3 Julai– Usaha membanteras gejala sosial di Kelantan memerlukan pendekatan mendidik masyarakat agar kembali menghayati ajaran Islam secara syumul, bermula dari rumah hingga ke sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menegaskan bahawa gejala sosial berpunca daripada kegagalan mendidik anak dengan kaedah Islam sejak lahir, termasuk amalan mencukur rambut pada hari ketujuh kelahiran sebagaimana disunatkan dalam syariat.
"Doktor boleh bersihkan luaran namun kuman berkumpul di kepala dan boleh merebak ke otak. Adat bercukur jambul biar licin kepala tanpa rambut yang asal dari dalam perut. Pahalanya besar.
"Barulah pertumbuhan otak sihat dan dapat berfikir dengan matang serta hati boleh cerah untuk menepis bisikan syaitan. Faktor inilah menjadi antara asbab berlakunya gejala sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Bengkel Menangani Gejala Sosial dan Maksiat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Seminar Mabna, hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa memohon keberkatan dalam hidup agar bertambah kebaikan.
"Jadi, kita pun kena ikut cara hidup Rasulullah agar selamat diri, keluarga, masyarakat dan negeri," katanya sambil memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000.00 khusus bagi menangani isu gejala sosial di Kelantan.
Dato’ Wan Roslan turut memberi peringatan kepada generasi muda agar mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat yang memusnahkan masa depan.
"Jangan sampai majoriti siswi yang keluar universiti terpaksa mencari bakal suami di Pusat Serenti," pesannya.
Sebagai langkah proaktif, Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menetapkan jadual persekolahan bermula jam 8.00 pagi, bukan 7.30 pagi, bagi memberi peluang pelajar menunaikan solat Subuh di rumah.
Selain itu, solat Zuhur berjemaah turut diwajibkan di sekolah bagi memastikan pelajar tidak culas menunaikan solat fardu.
Tambahnya, pendekatan Generasi Rabbani (Gen Rabb) menggabungkan jabatan, agensi, urus setia kerajaan negeri, badan bukan kerajaan serta melibatkan sekolah, masjid dan komuniti yang akan terus diperkasakan.
"Pendekatan keagamaan diutamakan di Kelantan kerana kerajaan negeri mahu rakyat yang takut kepada Allah serta menghormati ibu bapa, guru dan masyarakat.
"Semoga anak-anak di Kelantan boleh jadi pemimpin kepada orang bertakwa," katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Institut Latihan Darulnaim (ILDAN) dan Pusat Pemantau dan Pelaksanaan Strategik Negeri Kelantan (SPARK) atas kejayaan menganjurkan program selama dua hari bermula 2 Julai, semalam.
![]() |
YB Kamaruzaman Mohamad, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
Sementara itu, timbalannya, YB Kamaruzaman Mohamad pula berpendapat, punca masyarakat berdepan pelbagai masalah sosial berpunca daripada cara fikir yang salah, ditambah sikap sambil lewa ibu bapa yang gagal memantau anak-anak.
"Rakyat yang kurang berkemampuan dari aspek kewangan ini sebenarnya berpunca daripada cara fikir yang salah.
"Solusinya ialah perkemaskan solat. Jiwa akan tenang, bersih dan berakhlak. Kerja pun baik.
"Ibu bapa perlu mengambil berat aktiviti anak-anak, jangan biarkan mereka pulang lewat malam tanpa pengawasan," katanya.
Beliau menambah, Skuad Amru yang diaktifkan akan mendekati golongan remaja dengan pendekatan berhemah yang masih diterima oleh mereka.
"Apabila masyarakat ambil peduli dan dekati mereka, perangai negatif dalam kalangan remaja boleh diperbaiki," katanya.
Antara jabatan dan agensi yang berganding tenaga termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Islam Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Kelantan (MCMC), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Amanah Tok Kenali, Bahagian Dakwah Halaqat, Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS), Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKEWA).
Turut terlibat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Institut Pemikiran Dato’ Bentara Setia (IPTG), Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), UiTM Cawangan Kelantan, Universiti Malaysia Kelantan, Politeknik Kota Bharu
Tidak terkecuali, Kelab Penyokong Kerajaan, Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan (BAHUU), Malaysian Pharmacist Society-Kelantan, Persatuan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan PEMADAM.
Semua sumbang saran idea, diskusi dan rumusan dimoderatorkan oleh Pensyarah Kanan dan Pengarah Pusat Pembelajaran di Universiti Islam Selangor (UIS) Ts. Dr Syarbaini Ahmad.
0 Comments