![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 27 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkasa undang-undang Syariah menerusi pelbagai pendekatan terkini, selari dengan dasar pentadbiran Islam yang menjadi teras pemerintahan negeri-negeri SG4.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata demikian ketika mengulas penyertaannya dalam Wacana Pemerkasaan Syariah SG4: Memartabat Islam, Memperkasa Syariah yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah, di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Menurut beliau, wacana anjuran Kluster Pemerkasaan Syariah SG4 dengan Kerjasama ILMUWAN itu berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh dan pemikir Islam dari seluruh negara bagi membincangkan hala tuju serta kerangka besar pelaksanaan Syariah dalam konteks negeri-negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Syabas kepada pihak penganjur atas usaha murni ini. Sesi diskusi dan ulasan oleh Exco Agama negeri-negeri SG4 secara forum turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman berkaitan pemerkasaan Syariah berdasarkan bidang tugas dan pendekatan masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, usaha memperkukuh pelaksanaan Syariah bukan sahaja dilihat dari aspek perundangan, tetapi merangkumi kefahaman, pentadbiran, pendidikan serta penghayatan dalam kehidupan rakyat secara menyeluruh.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Eksekutif SG4 YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Dua pembentangan utama turut diadakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam UTMKL Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dengan tajuk Kerangka Pelaksanaan Syariah dan Penyeragaman Pentadbiran Islam, serta Timbalan Dekan Akademik Pusat Kajian Undang‑Undang Malaysia & Perbandingan, Fakulti Undang‑Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Norhafilah Musa yang membentangkan kertas kerja bertajuk Hala tuju Pemerkasaan Syariah SG4.
YB Mohd Asri berharap wacana berkenaan menjadi titik tolak kepada kesepakatan antara negeri-negeri SG4 dalam memperkukuhkan dasar Islam serta memartabatkan undang-undang Syariah sebagai asas keadilan dan kesejahteraan rakyat.
![]() |
YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Eksekutif SG4 |
0 Comments