![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 27 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus memartabat seni budaya berteraskan syariat melalui pelaksanaan Dasar Kesenian Negeri Kelantan yang digubal selaras dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI), kata Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, dasar tersebut dirangka bagi memastikan setiap bentuk persembahan dan aktiviti kesenian yang dianjurkan tidak bertentangan dengan hukum Islam, sebaliknya menjadi medan dakwah dan pembentukan sahsiah masyarakat.
“Kerajaan Negeri menetapkan prinsip-prinsip utama yang menjadi panduan kepada semua penganjur dan penggiat seni agar segala apresiasi seni bukan sahaja tidak melanggar batas agama, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan berakhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2025 di Pantai Irama, di sini, semalam.
Tambah beliau, pendekatan strategik melalui kerjasama agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah mula menampakkan hasil apabila golongan penggiat seni di Kelantan memberikan respons positif terhadap pelaksanaan kesenian patuh syariah.
“Salah satu pencapaian yang boleh dibanggakan ialah kejayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan (JKKNK) memperkenalkan Mak Yong Patuh Syariah, hasil penyesuaian semula karya warisan ini agar menepati tuntutan agama.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penggiat seni tradisional seperti dikir barat, wayang kulit, dan lain-lain yang menyokong penuh Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan 1990 serta usaha memperkasakan seni budaya secara berlandaskan nilai-nilai Islam.
Menteri Besar yakin pendekatan tersebut akan memperkukuh kedudukan budaya Kelantan bukan sahaja di peringkat nasional, malah berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui kreativiti seni yang berkualiti dan profesional.
“Saya berharap Festival Kesenian Rakyat Kelantan akan diteruskan setiap tahun kerana ia memberi impak besar terhadap pengukuhan seni budaya negeri dan pembangunan insan menerusi ekspresi seni berlandaskan syariat,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato' Mohd Yusri Yusof, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor, Ahli Dewan Negeri Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin, Ketua Pengarah JKKN Amran Haris serta Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusuf.
0 Comments