Kelantan Perkenal ‘Pasport Kuda’, Langkah Proaktif Lindungi Kebajikan Haiwan

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 20 Julai – Kelantan mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan sistem ‘Pasport Kuda’ melalui program pendaftaran mikrocip bagi meningkatkan kebajikan dan kawalan data haiwan di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sebanyak 100 ekor kuda telah didaftarkan dengan Kad Pengenalan Haiwan yang dilengkapi mikrocip pada Sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan 2025 di sebuah resort di Nipah, pada Sabtu.

“Inisiatif ‘Pet Passport’ Kuda ini merupakan satu permulaan penting untuk memastikan setiap haiwan peliharaan mempunyai rekod identiti yang sah. Usaha ini akan diperkasa secara berperingkat kepada haiwan peliharaan lain,” katanya.

Beliau menegaskan, sistem pengenalan haiwan bukan sahaja meningkatkan tahap akauntabiliti pemilik tetapi juga membantu agensi berkaitan dalam menyalurkan bantuan, memantau kebajikan haiwan dan menyusun data ternakan secara lebih terurus.


“Jika pemilik benar-benar prihatin dan komited, haiwan peliharaan akan dijaga seperti ahli keluarga sendiri. Inilah budaya yang kita mahu suburkan dalam masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan berkenaan yang bertemakan ‘Pemilik Prihatin, Haiwan Terjaga’ yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr. Akma Ngah Hamid, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Dr. Yahasmida Yaacob, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UMK Prof. Madya Dr. Mohd Farhan Hanif Reduan dan Pengarah Bahagian Regulatori Veterinar Ibu Pejabat Putrajaya Dr. Mohammad Razli Abdul Razak.

Dalam pada itu, Dato' Tuan Mohd Saripudin juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan turut memperkukuh agenda jaminan makanan dengan peruntukan RM6.79 juta pada tahun ini bagi memacu sektor pertanian dan penternakan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, RM2.8 juta disalurkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) untuk beberapa projek pembangunan utama termasuk membangunkan tanah Agrovalley Rong Chenok di Pasir Mas.


Projek tersebut melibatkan pembinaan reban ayam automatik, pusat akuakultur ikan air tawar dan penambahbaikan infrastruktur pengairan bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap sumber makanan import.

“PKPNK juga merancang tiga lagi projek ternakan untuk tahun 2025 yang melibatkan lembu, ayam kampung dan ikan kerapu. Ini bukti sektor penternakan kekal menjadi teras utama negeri, bukan sahaja untuk pembangunan malah kesejahteraan haiwan,” katanya.



Post a Comment

0 Comments