Kelantan rekod kadar jangkitan HIV antara terendah di Malaysia

Oleh: Fathi Yusoff Ajami


KOTA BHARU, 21 Julai 2025 – Negeri Kelantan merekodkan kadar jangkitan HIV antara yang terendah di Malaysia, sekali gus menolak dakwaan liar yang mengaitkan negeri ini sebagai pusat gejala songsang.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2023, Kelantan hanya mencatat 93 kes HIV baharu, iaitu 2.48% daripada keseluruhan kes nasional. Sebaliknya, Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 1,062 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (357 kes), Sabah (320 kes), Pulau Pinang (256 kes) dan Sarawak (248 kes).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Hj Hassan berkata, fakta ini membuktikan keberkesanan pendekatan berteraskan syariat Islam yang diamalkan di Kelantan dalam menjaga fitrah masyarakat dan mencegah kerosakan moral.

“Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dilaksanakan di Kelantan bukanlah bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai benteng perlindungan kepada masyarakat agar tidak hanyut dalam ideologi songsang yang semakin normal dalam wacana global,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial beliau hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan jangkitan HIV kini lebih banyak berpunca daripada hubungan sejenis, berbeza dengan dekad lalu yang lebih dikaitkan dengan penggunaan dadah suntikan.

“Data 2024 menunjukkan 64% jangkitan HIV berpunca daripada hubungan sejenis, manakala penggunaan dadah hanya menyumbang 3%. Ini adalah realiti yang perlu kita tangani dengan berani dan berpandukan prinsip agama, bukan tunduk kepada tekanan luar,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat agar kembali kepada pendidikan rohani, memperkukuh institusi keluarga dan mempertahankan nilai fitrah sebagai benteng utama menghadapi ancaman ideologi yang memesongkan.

Post a Comment

0 Comments