Kerajaan negeri perkukuh sekuriti makanan melalui penetapan KPI GLC pertanian

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan

Oleh : Che Maziah Mat

KOTA DARULNAIM, 21 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu kepada semua syarikat pertanian milik kerajaan (GLC) sebagai usaha memperkukuh sekuriti makanan negeri.

Menurut YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, penetapan KPI tersebut melibatkan beberapa saluran penting termasuk sasaran tahunan syarikat, Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan (MMK) 2024–2028, Dasar Pertanian Negeri Kelantan 2021–2025 serta pelaksanaan projek flagship portfolio.

“Sebagai contoh, syarikat yang menunjukkan prestasi memberangsangkan ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) yang telah melaksanakan projek tanaman sayuran secara hidroponik melibatkan sebanyak 60,000 pot serta tanaman cili secara fertigasi. Usaha ini telah mula membuahkan hasil apabila PKPNK berjaya membekalkan kira-kira satu tan sayuran berdaun setiap minggu serta dua tan cili bagi setiap pusingan kepada pasaran tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 bagi menjawab soalan dari YB Zuraidin Abdullah dari Chetok berkaitan penetapan KPI kerajaan negeri kepada semua syarikat GLC yang menyumbang kepada Sekuriti Makanan Negeri serta pencapaianya.

YB Zuraidin Abdullah,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok

Sementara itu, ujarnya lagi bagi memaksimumkan lagi hasil pengeluaran, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan beberapa peruntukan baharu untuk tanaman cili fertigasi, melon dan bawang di kawasan Agrovalley Rong Chenok bagi tahun 2024–2025.

Kelantan Bio-tech Corp Sdn Bhd (KBCSB), sebuah syarikat GLC di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), turut menyumbang secara signifikan dalam menjayakan agenda sekuriti makanan negeri. Antara pencapaian KBCSB ialah pembangunan Tanah Rizab Haiwan dan tanah terbiar seluas 135 ekar daripada keseluruhan 150 ekar di Gong Datok.

Selain itu, Kelantan BioART Centre yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran semen beku ternakan telah mula beroperasi dan berjaya menghasilkan produk percubaan straw semen. Dalam masa yang sama, KBCSB juga membangunkan projek tanaman rumput minyak seluas 50 ekar di Jeram Pasu, Pasir Puteh bagi tujuan penghasilan makanan ruminan.

Pusat Nurseri Semaian yang diusahakan syarikat tersebut juga telah beroperasi sepenuhnya dan mampu menampung sehingga 30,000 benih tanaman pada satu-satu masa termasuk benih pisang kultur tisu, sayur-sayuran dan pokok buah-buahan.

Turut terlibat dalam menjayakan inisiatif ini ialah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) yang melaksanakan beberapa projek flagship penting sebagai sebahagian daripada KPI mereka. Antara projek utama yang dijalankan oleh KPKB ialah Kilang Padi & Beras Darulnaim Sdn. Bhd., Kilang Makanan Ternakan serta Program Gerakan Pertanian Al-Falah yang memberi fokus kepada pembangunan agroekonomi dan kebajikan masyarakat.

Post a Comment

0 Comments