SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membawa usul berkaitan usaha mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan sempadan bagi membanteras sindiket aktiviti pengedaran dadah.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakhshari Muhamad berkata, usul tersebut akan dibangkit pada mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Ogos ini di Putrajaya.
Katanya, sehingga sekarang agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan sering melaksanakan operasi menangani masalah tersebut.
“Walaupun tangkapan dilakukan seolah-olah mencalar imej negeri, namun ia sebenarnya menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa membanteras pengedaran dadah,” ujarnya.
“Statistik tangkapan yang meningkat tidak wajar ditafsir secara negatif,” katanya pada mesyuarat penyelarasan PEMADAM Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Datuk Razali Che Razak.
Zamakhshari yang juga Pengerusi PEMADAM Kelantan berkata, jumlah statistik meningkat membuktikan polis dan agensi pengkuatkuasa lain bekerja keras untuk membanteras sindiket pengedaran dadah.
Beliau turut menyokong pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di peringkat nasional sebagai langkah pencegahan awal.
Kelantan menguatkuasakan larangan menjual rokok elektronik sejak tahun 2015 di semua premis perniagaan di negeri itu.
Langkah serupa juga akan dilaksanakan di semua premis perniagaan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Perlis turut akan mengharamkan penjualan rokok elektronik bermula 1 Ogos ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengisytiharkan penggunaan vape sebagai haram sejak 2022.
0 Comments