Kelantan tangani aktiviti penyeludupan semakin licik

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Sebagai negeri yang berkongsi sempadan dengan Thailand, Kelantan berdepan cabaran berkaitan aktiviti penyeludupan yang semakin licik.

Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sempadan yang panjang dan wujud laluan tikus memerlukan pendekatan menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasakan secara konsisten semua agensi berkaitan agar masalah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Tangkapan besar-besaran oleh polis di seluruh Kelantan kebelakangan ini dengan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit bukti membuktikan penguatkuasaan di lapangan berjalan dengan baik.

“Tahniah kepada PDRM atas kejayaan besar tersebut. Kerajaan negeri juga mengambil inisiatif melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang dipengerusikan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat,” katanya di sini.

Menurutnya Pemadam Kelantan bekerjasama erat dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri, Yayasan Islam Kelantan dan pelbagai agensi bagi memperluas usaha pencegahan ke peringkat akar umbi.

Kata beliau juga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam, kerajaan terus konsisten, tegas dan berprinsip dalam mendukung segala usaha membanteras penyalagunaan dadah.

“Kita yakin, dengan kerjasama erat semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas najis dadah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments