Oleh: Asri Hamat
PENGKALAN CHEPA, 15 Julai — Sukan dan pelancongan budaya bertemu di padang hijau apabila Kejohanan Golf Terbuka Amatur Kelantan ke-48 di Kelantan Golf & Country Club (KGCC) tahun ini tampil dengan pendekatan berbeza melalui penjadualan aktiviti seni, warisan dan keunikan negeri Kelantan kepada peserta antarabangsa bersama keluarga mereka.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran kejohanan berprestij berskala global itu bukan sekadar platform pertandingan golf semata-mata, bahkan ia menjadi medium mempromosi budaya tempatan melalui aktiviti sampingan yang dirancang.
“Peserta bukan sahaja datang bermain golf, tetapi juga membawa keluarga untuk mengenali Kelantan. Mereka diperkenalkan dengan batik, demonstrasi pembuatan wau, persembahan rebana ubi dan kertuk, malah disajikan keindahan tradisi negeri ini,” katanya pada sidang media sempena kejohanan tersebut di KGCC, pada Ahad.
Beliau berkata, usaha berkenaan sejajar dengan pendekatan pelancongan tematik sukan, yang mampu memanjangkan tempoh tinggal pelancong, seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Difahamkan ada peserta antarabangsa dari Taiwan yang akan turun padang. Kita harap mereka akan luang masa lebih lama, mencuba makanan popular Kelantan yang terkenal bersih, sedap dan berpatutan,” ujarnya.
Datuk Kamarudin turut berharap sukan golf dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang akan berlangsung di Kelantan, sekali gus membuktikan kemampuan fasiliti sukan negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden KGCC, Ahmad Rifaah Mohamed berkata, kejohanan kali ini dijangka paling meriah dengan pelbagai pengisian kebudayaan sebagai nilai tambah.
“Golf memakan masa sekitar empat jam. Sepanjang tempoh itu, keluarga pemain boleh meneroka banyak aktiviti menarik seperti membeli-belah di Pasar Siti Khadijah, menikmati river cruise menyusuri Sungai Kelantan hingga ke Pulau Suri dan Sri Tanjung,” jelasnya.
Tambahnya, pihak penganjur turut menampilkan pameran senjata tradisional seperti keris dan tombak, menjadikan padang golf bukan sekadar medan persaingan, tetapi pintu masuk ke dunia seni, warisan dan produk tempatan.
Sehubungan itu, Datuk Kamarudin optimis kejohanan tersebut mampu merancakkan sektor sukan bertaraf antarabangsa. Sekali gus membuktikan Kelantan berpotensi menjadikan sukan sebagai pintu masuk promosi Pelancongan Tematik Sukan yang menjulang citra Negeri Cik Siti Wan Kembang ke pentas dunia.
0 Comments