Oleh: Fathi Yusoff Ajami
KOTA BHARU, 17 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan satu penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay yang dijadualkan berlangsung di ibu negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan tersebut mencerminkan komitmen tinggi pihak berkuasa dalam memelihara maruah agama dan nilai hidup berlandaskan syariat Islam.
“Kerajaan Negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam. Amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak serta menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Kelantan tidak akan menjadi medan normalisasi budaya maksiat yang diharamkan oleh agama, dan pihak kerajaan negeri komited mengambil langkah tegas melalui undang-undang dan pendekatan antara agensi.
Antara langkah yang telah diambil termasuk penggubalan dan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, yang meliputi kesalahan seperti liwat, musahaqah dan perlakuan tidak bermoral lain. Walaupun enakmen ini pernah dicabar di mahkamah, kerajaan negeri akan terus memperkukuh peruntukannya demi menegakkan hukum Allah SWT.
Bagi memperkasa usaha pencegahan, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang dianggotai agensi-agensi seperti PDRM, JAHEAIK, JKM, AADK, YIK, ILDAN dan Jabatan Kesihatan Negeri.
“Jawatankuasa ini memainkan peranan menyelaras pendekatan holistik antara agensi bagi membendung keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani dipertontonkan,” tambah beliau.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri menyeru Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar mengambil tindakan tegas menyekat platform digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
“Ruang digital tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan hingga merosakkan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda,” ujarnya.
Sebagai langkah jangka panjang, Kerajaan Kelantan turut melaksanakan Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) bagi membina ketahanan komuniti melalui pendekatan spiritual, emosi dan sosial yang holistik. Program ini turut menyantuni komuniti berisiko dan memperkukuh kefahaman Islam di peringkat akar umbi.
Mengakhiri kenyataannya, Dr. Mohamed Fadzli menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk terus mempertahankan kesucian Islam serta menolak segala bentuk tekanan pihak luar yang cuba mempromosi kebebasan tanpa batas.
0 Comments