Oleh ASLANI M
DI mana silapnya kita. Khazanah lama milik ulama Tanah Melayu sejak abab ke-18 tidak mampu kita pertahankan. Sedangkan ia penting bagi membuktikan Islam sudah lama bertapak di Malaysia.
Di Kelantan ada naskhah al-Quran tulisan tangan kepunyaan Tok Kenali bertarikh 1286 Hijrah. Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusof Ahmad, seorang ulama terkenal di negeri Serambi Mekah.
Begitu juga Tok Pulai Chondong dicatat merupakan ulama pertama membuka pondok pengajian agama di Kelantan, bertempat di Pulai Chondong pada tahun 1820-an.
Nama sebenar Haji Abdul Samad bin Faqeh Haji Abdullah bin Imam Hashim dilahir di Kampung Bukit, Pulai Chondong pada tahun 1792 Masehi (1207 Hijrah).
Keluarga Tok Pulai Chondong berasal dari Kampung Bira, Patani. Ibunya bernama Wan Mek dan saudara tuanya Halimah.
Khazanah lama itu cuba dicungkil semula Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah, Narathiwat, Thailand.
Pusat Manuskrip madrasah tersebut berusaha untuk mengumpul semula khazanah milik Tok Pulai Chondong yang masih disimpan cucu cicit ulama tersohor terbabit.
Pengasas pusat tersebut Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae berkata, beliau berusaha menjejaki semula khazanah milik Tok Pulai Chondong untuk dipulih semula.
“Kami akan berkunjung ke Pulai Chondong, Machang untuk menemui keluarga Tok Pulai Chondong bagi melihat manuskrip lama yang ditinggalkan ulama tersebut.
“Tok Pulai Chondong mempunyai hubungan rapat dengan ulama terkenal di Patani, Sheikh Daud Patani. Biar pun Tok Pulai Chondong tidak menulis banyak kitab agama seperti Sheikh Daud, namun sempat menulis kitab tafsir dan buku doa.
“Nama Tok Pulai Chondong lebih dikenali di selatan Thailand berbanding dengan Tok Kenali,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Melayu Raya
Pusat Manuskrip Madrasah al-Ahmadiah juga dikenali sebagai Muzium Al-Quran Melayu Raya menyimpan naskhah al-Quran lama dan artifak berusia sehingga 1,100 tahun.
Turut disimpan al-Quran dari zaman Empayar Mogul di India. Kulitnya dibuat daripada kulit haiwan dan kertas pula diperbuat daripada kulit kayu.
Naskhah al-Quran dari Yaman pula berusia 1,000 tahun ditulis di kulit kambing.
Al-Quran lama ada yang berasal dari Malaysia, India, China, Iran, Mesir, Yaman, Maghribi, Sepanyol, Afrika dan Uzbekistan.
Pusat manuskrip tersebut mulai beroperasi pada 2010 selepas menerima kunjungan daripada kerajaan Turkiye.
Muzium al-Quran tersebut dilengkapi bilik Manuskrip al-Quran, ruang persidangan, manuskrip Melayu, teknologi Melayu lama dan kehebatan ilmu Melayu.
Teknologi Melayu lama yang dipamerkan termasuk peralatan membuat dan mencetak kertas. Peralatan itu dibuat daripada kayu dan besi.
Terdapat juga peralatan menghukum pesalah dibuat daripada kayu dan dilengkapi rantai. Keranda lama dan replika kubur ditempatkan di ruang khas.
Selain itu ada ruang menempatkan katil di bilik khas yang didiami ulama zaman lampau. Terdapat juga jubah dipakai ulama terkenal termasuk bekas Mudir Pondok Pasir Tumboh Kelantan Tuan Guru Dato’ Hashim Abu Bakar.
Turut dipamer senjata lama termasuk keris, senapang, pedang, lembing, pedati, rengga, pemerah tebu, tembikar dan pelita.
Ustaz Muhammad Lutfi juga berkata, muzium itu menjadi pusat pembelajaran bagi pelajar dan penyelidik berkaitan budaya dan kesenian Islam.
Hampir setiap hari menerima rombongan pelajar dari seluruh Thailand. Selain itu pelawat dari Malaysia dan negara-negara lain.
Kata beliau muzium itu menyimpan 79 naskhah al-Quran tulisan tangan yang dibaik pulih berusia 150 hingga 1,100 tahun. Manakala hampir 200 manuskrip menunggu giliran untuk dibaik pulih.
Berkongsi cerita usaha mewujudkan muzium al-Quran itu katanya ia bermula selepas berlaku tsunami besar di Thailand dan rantau Asia Tenggara.
“Selepas berlaku tsuanami ada rombongan kerajaan Turkiye datang menghantar bantuan kepada penduduk yang menjadi mangsa.
“Rombongan terbabit turut datang ke Narathiwat selepas mengetahui ada banyak pusat pengajian Islam di wilayah selatan.
“Mereka memberi dana bagi membaik pulih manuskrip lama yang terdapat di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah. Selain itu manuskrip lama dibawa pulang ke Istanbul untuk dibaikpulih semula,” katanya.
Menurutnya juga kos membina bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat manuskrip di bahagian bawah disumbang hartawan dari Malaysia.
Manakala di aras dua dan tiga dijadikan bilik darjah pelajar madrasah terbabit.
Ustaz Lotfi juga berkata, pada peringkat awal naskhah al-Quran lama disumbangkan penduduk di kawasan itu.
“Selepas mewujudkan pusat pemulihan, beberapa penduduk tempatan menyumbangkan al-Quran lama untuk pemulihan.
“Pada awalnya 13 naskhah al-Quran lama disumbang penduduk tempatan. Bilangan al-Quran bertambah setelah penduduk di Patani, Yala dan Narathiwat menyerahkan al-Quran kepada muzium,” ujarnya.
Menurutnya juga bangunan muzium baharu sudah siap dibina kerajaan Thailand. Muzium tersebut terletak di bahagian hadapan madrasah.
Kompleks muzium tersebut dibina dengan kos 220 juta baht (RM29.2 juta) telah siap sepenuhnya. Sebahagian naskhah al-Quran lama yang dibaikpulih sudah ditempatkan di muzium tersebut.
0 Comments