KEMPEN KESEDARAN E-WASTE PERKASA USAHA KELESTARIAN ALAM SEKITAR DI KELANTAN


Oleh: Asri Hamat

KUBANG KERIAN, 2 Julai – Kempen Kesedaran Kitar Semula Sisa Elektronik (e-Waste) yang berlangsung selama seminggu di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menarik penyertaan aktif daripada warga kampus, komuniti setempat serta pelbagai agensi luar.

Program ini merupakan inisiatif penting dalam menguruskan sisa elektrik dan elektronik secara mampan, khususnya di negeri Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 365,000 tan sisa e-waste setiap tahun.

"Jumlah ini amat membimbingkan dan dijangka akan meningkat secara mendadak menjelang 2026.


"Peningkatan tersebut disebabkan pertumbuhan pesat ekonomi digital dan penggunaan peranti elektronik yang meluas. Namun, hanya sebahagian kecil daripada e-waste tersebut berjaya dikitar semula, manakala selebihnya berakhir di tapak pelupusan,"katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya, pada Selasa.

Katanya lagi, e-waste' yang gagal diuruskan boleh membawa risiko kepada kesihatan awam dan pencemaran kepada alam sekitar serta menjadi punca kebakaran di tapak pelupusan.

"Diharapkan warga kampus dapat menjadi duta kepada kerajaan negeri dalam menyebar luas kesedaran dalam kalangan rakyat Kelantan di setiap lapisan masyarakat tentang peri pentingnya pengurusan pembuangan e-Waste ini," tegasnya.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk pengumpulan barangan e-Waste, Program Digital Kasih, ceramah teknologi hijau, pameran interaktif, kuiz kelestarian serta sesi perkongsian ilmu bersama agensi luar. Aktiviti-aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, staf akademik, serta komuniti setempat.


Terdahulu YB Hilmi telah merasmikan Kempen Kesedaran Kitar Semula Sisa Elektronik (e-Waste) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin; Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohd Roshdi Hassan; Timbalan Pengarah Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan USM, Nik Nashron Ab Aziz serta Penyelaras Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan USM, Rabiatul Adawiyah Ab Manan.

YB Hilmi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada urus setia program daripada Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian serta semua pihak yang terlibat.

"Komitmen yang ditunjukkan membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi akademik, masyarakat dan agensi berkaitan adalah kunci dalam memastikan bumi terus kekal bersih dan selamat untuk diwariskan kepada generasi akan datang," ujarnya.



Post a Comment

0 Comments